Kampung
Lepau adalah salah sebuah kampung di kawasan Mukim Pengerang, Daerah Kota
Tinggi, Johor. Kampung Lepau terletak kira-kira 7 km dari pekan Pengerang
dan jarak kampung ini dengan Bandar Kota Tinggi adalah sejauh 70
km.
Berdasarkan
sejarah, kampung ini telah diteroka pada tahun 1880 oleh sekumpulan Bugis
yang berasal dari Tanah Bugis (Sulawesi), Indonesia. Kumpulan Orang Bugis
itu diketuai oleh Chek Nang. Kumpulan pertama ini telah menerokai kawasan
kampung ini untuk mengambil hasil hutan seperti daun mengkuang dan batang
nibung yang kemudiannya dihantar ke Singapura untuk dijual. Setelah hasil
hutan tersebut berkurangan, kawasan kampung ini pun ditinggalkan iaitu
pada sekitar tahun 1919.
Pada
tahun 1920, kawasan kampung ini telah diterokai semula oleh sekumpulan
orang-orang Bugis lain (seramai 20 orang) yang diketuai oleh Wak Japak
bin Maluru. Orang-orang dari kampung ini telah berganding bahu dalam mengusahakan
tanah di kampung ini dengan tanaman nenas, kopi, kelapa dan getah.
Menurut
cerita yang diperturunkan oleh orang-orang tua di kampung ini, nama Kampung
Lepau berasal dari perkataan cina iaitu dari suku
"Keck" yang berbunyi "Liuk-Fau".Pada zaman dahulu,
ada beberapa orang cina telah melalui kampung ini. Ketika mereka melalui
kampung ini, mereka telah terserempak dengan 6 ekor harimau bintang dan
mereka berteriak 'Liuk-fau!'Liuk-fau!'Liuk-fau!' yang bermaksud ada 6
ekor harimau bintang. ('Liuk' bermaksud 6 manakala 'Fau' bermaksud harimau
bintang). Dari bunyi perkataan orang cina itu maka orang kampung menamakan
perkataan Lepau, dan seterusnya menamakan kampung ini dengan nama Kampung
Lepau. |