Bermulalah sebuah kisah, berlakulah peperangan saudara di Negeri Pahang. Adapun peperangan itu menyebabkan berlakunya perpecahan daripada pengikut Tok Gajah, Mat Kilau, Imam Perang Mat akil dan lainnya.

Daripada perpecahan itu, terdapat dua bersaudara iaitu Syed Abd. Rahman dan Syed Abu Bakar. Mereka terpaksa melarikan diri kerana berada di pihak yang tewas dalam peperangan tersebut. Dengan beberapa buah perahu (jalak), mereka berdua bersaudara pun belayarlah dengan menempuh pelbagi rintangan dan cabaran, sehinggakan kain layar kapal tersebut pun diperbuat dari kain tabir. Setelah itu mereka berjaya tiba ke Kampung Pahang di Singapura.

Setelah beberapa waktu menetap di situ, mereka mengambil keputusan untuk meneroka sebuah penempatan yang baru. Lalu mereka pun belayar kembali dengan tujuan tersebut.

Beberapa hari kemudian, mereka pun tiba di sebuah kukup, lalu mendarat di situ (Di kawasan Masjid Teluk Ramunia sekarang). Pada pandangan dan firasat mereka, nampaknya tempat tersebut amat sesuai untuk didiami, lalu mereka bersaudara dan pengikutnya pun meneroka kawasan tersebut. Dalam pada masa membersihkan kawasan tersebut, mereka banyak bertemu dengan Pokok Ramunia yang terdapat disekitaran kukup tersebut. Oleh kerana itu, mereka bersepakat menamakan tempat tersebut sebagai 'Kampung Teluk Ramunia'.Dengan usaha dua bersaudara itu, banyak pokok-pokok kelapa ditanam atas bantuan dari Almarhum Sultan Abu Bakar, Sultan Johor.

Apabila beliau meninggal dunia, adiknya Syed Abu Bakar telah dilantik sebagai ketua. Pada masa itu, penduduk semakin bertambah. Apabila beliau meninggal dunia, beliau telah disemadikan di suatu kawasan di belakang masjid Teluk Ramunia dan dijaga dengan baik hingga kini.

Seterusnya Syed Ahmad bin Syed Ali telah dilantik menjadi penghulu pertama di Kampung Teluk Ramunia, dan telah mendapat gelaran dari Sultan Johor sebagai Nong Barat. Ketika itu, bilangan penduduk semakin bertambah ramai. Apabila beliau meninggal dunia, tempatnya telah diambil alih oleh Syed Mamat bin Syed Abd. Rahman yang menjadi penghulu dan seterusnya sebagai imam pada sekitar tahun 1926. Beliau merupakan orang yang bertanggungjawab dan bersusah payah dalam mengasaskan sekolah pertama di Teluk Ramunia yang dibina di Sungai Rengkoh dengan cara bergotong-royong.

Kemudia tempat beliau telah digantikan oleh Syed Sulaiman bin Syed Mamat apabila beliau meninggal dunia. Pada masa Syed Sulaiman menjadi penghulu, keadaan negara dalam kacau bilau kerana Parti Komunis (Bintang 3) ingin menguasai negara. Akhirnya beliau kecundang ditangan mereka. Tugas beliau digantikan oleh Syed Ghani bin Syed Mamat yang telah berjasa dalam merintis pembukaan kawasan kampung baru yang ada sekarang. Selepas pemergian beliau barulah jawatan penghulu dilantik oleh pihak kerajaan dengan penghulu pertama iaitu Mat Som.

Walau bagaimanapun, disebabkan Teluk Ramunia kini mempunyai kampung rangkaian di mana terdapat 5 kampung tradisional iaitu Kampung Changi, Kampung Simon, Kampung Masjid, Kampung Lahum dan Kampung Baru. Maka, diwujudkan GDW bagi memudahkan pengurusan. Kampung Simon terletak dibawah pengawasan KEJORA. Diantara kelima-lima kampung tersebut, hanya Kampung Lahun sahaja yang telah tidak wujud dan hanya tinggal nama.