GARIS PANDUAN PENUBUHAN PENTADBIRAN JAWATANKUASA KEMAJUAN DAN KESELAMATAN MASYARAKAT BANDAR-BANDAR BARU KEJORA 1990
 

1.0
NAMA JAWATANKUASA
Jawatankuasa ini hendaklah dinamakan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Masyarakat Bandar-Bandar Baru KEJORA atau JKKMB.
2.0 KAWASAN PERJALANAN JAWATANKUASA
Kawasan perjalanan jawatankuasa ini merangkumi bandar-bandar KEJORA dan kawasan berhampiran yang tidak diwakili sebarang jawatankuasa yang seumpamanya.
3.0 TAFSIRAN
Di dalam garis panduan ini, melainkan ada sesuatu perkara atau perkataan yang berlainan maksudnya, maka:
AHLI mempunyai makna meliputi individu yang tinggal dan bekerja di bandar-bandar KEJORA atau kawasan berhampiran dengannya kecuali di kawasan yang telah mempunyai satu jawatankuasa tersendiri seperti JKKR bagi petempatan FELDA dan JKK bagi kampung.

AHLI JAWATANKUASA mempunyai makna meliputi ahli yang dilantik sebagai Naib Pengerusi, Bendahari, Penolong Setiausaha, Pengerusi Biro Pendidikan, Pengerusi Biro Ekonomi dan Keusahawanan, Pengerusi Keselamatan, Pengerusi Biro Pembangunan Insan, Pengerusi Biro Wanita dan Pengerusi Biro Belia, Sukan dan Kebudayaan serta wakil-wakil penduduk serta Pengerusi-Pengerusi Biro Baru yang ditubuhkan di bawah jawatankuasa dari semasa ke semasa.

NAIB PENGERUSI mempunyai makna meliputi ahli yang dilantik menerajui jawatankuasa di peringkat bandar.

BIRO mempunyai makna meliputi biro-biro yang ditubuhkan di bawah jawatankuasa.

WAKIL-WAKIL PENDUDUK mempunyai makna meliputi ahli yang dilantik oleh Naib Pengerusi, Bendahari, Penolong Setiausaha serta Pengerusi-Pengerusi Biro sebagai wakil penduduk mengikut keperluan setiap bandar.

JAWATANKUASA mempunyai makna Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Masyarakat Bandar-Bandar Baru KEJORA.

PIHAK PENGURUSAN KEJORA mempunyai makna mereka yang dipertanggungjawab mentadbir dan melaksanakan pembangunan di Lembaga Kemajuan Johor Tenggara.