Muzium Nelayan Tanjung Balau

Info Sejarah Muzium Nelayan

Cetusan idea untuk membina Muzium Nelayan Tanjung Balau ini lahir dikalangan pegawai KEJORA dalam usaha mempertingkatkan kunjungan pelawat ke Tanjung Balau pada tahun 90-an. Hasil kerjasama dengan Fakulti Rekabentuk UTM, Skudai, KEJORA telah membina sebuah muzium dengan objektif lainnya mengenang jasa para nelayan Malaysia yang merupakan penyumbang utama industri makanan di Malaysia.

Muzium Nelayan Tanjung Balau ini merupakan satu-satunya muzium di Malaysia yang memaparkan peradaban kehidupan masyarakat nelayan tradisional di Malaysia. Ia telah dibuka kepada umum pada bulan Julai tahun 1992 di mana pada awalnya hanya mempunyai sebuah bangunan induk sahaja dan menempatkan peralatan-peralatan menangkap ikan tradisional nelayan serta maklumat-maklumat sejarah perikanan di Malaysia. Pada tahun 1997, atas dasar maklumat pengunjung yang inginkan cenderamata apabila berkunjung ke Tanjung Balau, satu Kedai Cenderamata telah dibina bagi merealisasikan tujuan tersebut. Pada tahun 2005, muzium ini telah dinaiktaraf dengan penambahan 3 galeri baru iaitu Galeri Geologi, Galeri Kapal Karam Desaru dan Galeri Keselamatan Laut serta bahagian diorama perkampungan nelayan beserta dengan perahu-perahu tradisionalnya. Sebuah galeri Pameran Bermusim pula telah dibina pada tahun 2012 dan naiktaraf pada tahun 2017 bagi tujuan pameran khas seperti Pameran Rangka Ikan Paus, Pameran Wau Dan Layang-Layang Antarabangsa, Pameran Haiwan Pelik Dan Aneh serta Pameran Misteri Alam Melayu.

Bangunan Induk (Sejarah Peradaban Nelayan)

Bahagian ini menceritakan tentang sejarah Tanjung Balau, upacara dan adat kepercayaan masyarakat tradisional nelayan, serta kisah dunia nelayan. Ruang berikutnya menempatkan Peralatan Membuat Perahu, Kelengkapan Nelayan dan Peralatan Menangkap Ikan Tradisional.

Diruangan seterusnya bangunan induk ini terdapat sudut pameran tentang penjenisan ikan dan hidupan laut lain seperti udang, ketam, dan siput-siput laut. Terdapat juga pelbagai diorama kehidupan nelayan tradisional yang terdapat di Semenanjung Malaysia dan Sabah serta Sarawak.

Pada tahun 2014 – 2015, Kejora telah menaiktaraf ruangan hiasan dalaman dengan kos keseluruhan sebanyak RM 700,000.00 bagi menarik lebih ramai pengunjung ke muzium. Di sudut diorama kampung nelayan, terdapat pameran permainan tradisional masyarakat nelayan seperti gasing, congkak, batu seremban, dan sepak raga. Selain dari itu terdapat juga pakaian nelayan pancing dan pakaian penyelam. Diruangan ini pengunjung juga boleh menikmati suasana di dalam rumah nelayan kerana dibahagian ini terdapat model rumah nelayan yang mengandungi peralatan dan hiasan di rumah nelayan dahulukala.

Galeri Geologi

Terdapat lebih dari 200 jenis batu-batan dalam galeri ini. Batu-batan ini diperolehi dari sekitar kawasan Tanjung Balau dan beberapa tempat di semenanjung Malaysia contohnya seperti batu kapur, batu kristal dan sebagainya. Di galeri ini pengunjung juga boleh mempelajari dan mendalami ilmu pengetahuan tentang bentuk geografi Tanjung Balau. Pada tahun 2015, Kejora menaiktaraf galeri dengan penambahan ruang galeri serta artifak seperti fosil dan mineral.

Galeri Kapal Karam Desaru

Galeri ini menempatkan artifak seperti tempayan, pinggan, mangkuk, sudu tembikar dari Negara China. Ia diperolehi dari Kapal Karam Desaru yang karam di perairan Desaru pada tahun 1840an. Kapal karam ini dinamakan Desaru bersempena dengan tempat di mana kapal ini karam iaitu di Pantai Desaru. Terdapat juga penceritaan berbentuk dokumentari majalah 3 tentang penemuan kapal karam ini.

Galeri Keselamatan & Komunikasi Laut

Galeri ini menempatkan replika bot dan kapal nelayan moden serta Bot Persiaran Mewah dan alat komunikasi yang digunakan oleh nelayan moden. Terdapat juga model rumah api yang merupakan salah satu keperluan bagi ahli pelayaran atau jurumudi untuk belayar dengan selamat. Selain dari itu kita dapat mempelajari dan menambah pengetahuan tentang alat-alat komunikasi dan keselamatan yang digunakan oleh nelayan semasa di laut.

Galeri Pameran Khas

Galeri ini mempamerkan bahan pameran khas sebanyak tiga kali setahun. Di antara Pameran yang telah dijalankan ialah Pameran Wau Dan Layang Antarabangsa, Pameran Rangka Paus Dan Barangan Antik, Pameran Alam Mistik dan akan dijalankan pada Bulan Februari adalah Pameran Senjata Mistik.

Bahagian Perahu- Perahu

Disini anda akan turut dapat melihat perahu-perahu lama tradisional yang digunakan oleh nelayan untuk ke laut pada zaman dahulu sebelum menggunakan sampan moden. Contohnya adalah seperti Perahu Kulit Kayu, Perahu Pengail dan Perahu Jalor.

Aktiviti Tahunan Muzium Nelayan

  1. Treasure Hunt ( Pelajar Sekolah Menengah / Rendah )
  2. Explorace ( Terbuka Remaja Dan Kanak-Kanak)
  3. Kuiz Muzium Nelayan Sempena Pesta Tanjung Balau
  4. Karnival Seni Lukis
  5. Karnival Mewarna Bersama Upin Dan Ipin
  6. Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Negeri & Kebangsaan
  7. Bengkel Menulis Khat
  8. Bengkel Ukiran Kayu tradisional
  9. Kolaberasi Interpretasi Muzium Nelayan Bersama Politeknik Ibrahim Sultan, Johor.
  10. Bengkel Melukis Batik

Carta Organisasi Muzium Nelayan Tanjung Balau