Perumahan KEJORA

Pembangunan bandar telah diberi keutamaan sejak awal lagi dalam agenda pembangunan KEJORA. Sehingga kini, KEJORA telah berjaya membina ribuan unit rumah mampu milik, bangunan komersil serta berbagai kemudahan awam dan sosial yang lain untuk keselesaan penduduk yang majoriti golongan bumiputera. Kejayaan tersebut telah menjadikan Bandar-bandar KEJORA kawasan yang dahulunya hutan belantara menjadi penempatan yang semakin membangun. Bandar-bandar Baru tersebut terutamanya Bandar Penawar dan Bandar Mas akan membangun dengan lebih pesat lagi pada masa hadapan kesan limpahan daripada projek petrokimia, pelancongan dan biotek di sekitar Desaru dan Pengerang yang melibatkan pelaburan puluhan billion ringgit serta menawarkan lebih 40,000 peluang pekerjaan.

Konsep membandarkan kawasan luar bandar yang dilaksanakan oleh KEJORA melibatkan penyediaan kemudahan awam dan sosial yang serba lengkap yang telah berjaya mewujudkan banyak peluang kepada penduduk terutamanya dari segi ekonomi dan pendidikan. Kejayaan tersebut sekaligus dapat mengurangkan penghijrahan keluar penduduk dari luar bandar ke bandar dan menarik kedatangan penduduk dari luar.

Rumah-rumah yang dibina KEJORA terbukti menarik minat pembeli di mana projek perumahan kos sederhana Fasa 3, Bandar Mas contohnya telah menerima langganan melebihi enam kali ganda daripada rumah yang ditawarkan. Begitu juga dengan perumahan bercampur dikawasan seluas 67 ekar Bandar Penawar oleh KEJORA Development Holdings Sdn. Bhd. juga telah menerima pertanyaan dan ramai bakal pembeli telah mendaftar untuk membeli walaupun rumah tersebut masih diperingkat kerja tanah.