PERKHIDMATAN

KEJORA Best

Program pembangunan peningkatan kualiti persembahan dan pembungkusan produk-produk PKS KEJORA telah pun dimulakan pada tahun 2013. Walau bagaimanapun, bagi meningkatkan lagi mutu dan kualiti program  ini, bermula Tahun 2015, KEJORA mula melaksanakan program ini dengan lebih bermodul dan tersusun di bawah Program Transformasi Kualiti Produk PKS KEJORA – KEJORA BEST.

Objektif Program Transformasi Kualiti Produk ini bertujuan untuk :

  1. Menyediakan program pembangunan keusahawanan melalui bimbingan secara total dan menggalakkan  keupayaan dan potensi usahawan ke tahap yang lebih baik;
  2. Membangunkan dan mempertingkatkan produk usahawan melalui program peningkatan kualiti pembungkusan dan persembahan produk selari dengan kaedah transformasi jenama yang betul dan berdaya saing serta mematuhi Akta Pelabelan dan Peraturan Makanan;
  3. Melaksanakan program persediaan peningkatan kualiti produk, pengawalan kualiti (QC), amalan persekitaran berkualiti (5S) serta persediaan ke arah pensijilan   MeSTI/HALAL/GMP/ISO9001 dan lain-lain yang berkaitan;
  4. Menyediakan satu platform dalam membimbing dan membantu usahawan dan   KEJORA dari segi pembangunan modal insan dan memperhebatkan keusahawanan dan perniagaan ke arah memperkasakan ekonomi usahawan bimbingan KEJORA.

Pelaksanaan program ini melibatkan tiga peringkat iaitu;

  1. Persediaan Pelaksanaan Program Transformasi Perniagaan bagi mengenalpasti pemilihan usahawan dan pemilihan produk.
  2. Melaksanakan program penjenamaan dan pembungkusan ke atas produk yang terpilih bagi penentuan reka bentuk, percetakan, IP dan pengujian makanan ke atas nutrisi dan pengujian jangka hayat produk.
  3. Melaksanakan program latihan kualiti dan program pemantauan susulan ke premis usahawan bagi mengenalpasti penambahbaikan ke atas proses pengeluaran dan persediaan ke arah pensijilan halal, pematuhan MESTI, HCCP dan sebagainya.

Perlaksanaan program dibawah inisiatif ’KEJORA BEST’ ini juga dapat mempertingkatkan lagi kapasiti bilangan jumlah usahawan tempatan khasnya usahawan KEJORA ke tahap yang lebih produktif, inovatif dan berdaya saing. Impak secara langsung adalah seperti berikut:

  1. Peningkatan ekonomi dan taraf hidup masyarakat melalui kegiatan perniagaan dan perindustrian yang bertambah.
  2. Peningkatan pengetahuan dan kemahiran usahawan dan pegawai KEJORA dalam aspek pembangunan usahawan, penjenamaan dan   pembungkusan,   keperluan teknikal serta pembangunan dan peningkatan kualiti produk dan kawalan kualiti.
  3. Memberi nilai tambah kepada produk-produk keluaran usahawan KEJORA melalui penambahbaikan reka bentuk dan fungsi pembungkusan dan penjenamaan serta penyediaan premis operasi yang menjurus ke arah   memenuhi keperluan yang sihat serta ke arah peringkat pensijilan Halal.
  4. Peningkatan jualan serta peluasan/peningkatan pasaran bagi produk-produk usahawan PKS.
  5. Merealisasikan matlamat usahawan PKS KEJORA yang ingin mengembangkan perniagaan serta menjadikan usahawan bimbingan KEJORA sebagai role model kepada usahawan yang lain. Pertambahan bilangan usahawan PKS KEJORA yang dapat menembusi pasaran tempatan dan global.

KEJORA mensasarkan sebanyak 50 produk dapat dipertingkatkan kualiti persembahan produk, penjenamaan dan pembungkusan mulai tahun 2021 sehingga akhir tahun 2030.