KEJORA TEROKA PROJEK PELANCONGAN BERIMPAK TINGGI
13 November, Bandar Penawar – KEJORA pada hari ini telah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Kajian KEJORA bertempat di Hotel Fourpoint by Sheraton Desaru.
Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) Menjalankan Tugas Pengurus Besar, En. Daud bin Abd. Rahman. Didalam ucapan aluannya, beliau menyatakan keterujaan KEJORA untuk melihat hasil yang sangat produktif serta sesuai dibangunkan di kawasan kajian.
Untuk makluman, pembentangan kajian pada hari ini meliputi 2 kajian yang mana pihak KKDW & KEJORA telah melantik Tetuan Uni-Technologies Sdn. Bhd. (UTSB) yang diketuai oleh YBhg. Prof. Madya Ts Dr Mohd Hisyam Rasidi bagi Kajian Pelan Induk Pembangunan Ekopelancongan Pulau Tanjung Surat, Kota Tinggi, Johor dan Tetuan IIUM Entrepreneurship and Consultancies Sdn. Bhd. (IECSB) yang diketuai oleh YBhg Prof. TPr. Dr. Mariana Mohamad Osman bagi Kajian Program Pembangunan Ekopelancongan Menelusuri Sungai Sedili Besar, Kota Tinggi, Johor.
Pembentangan yang diberikan oleh kedua-dua pasukan pengkaji telah menunjukkan aspek perancangan, pembangunan, kos pembangunan, risiko serta konsep menyeluruh kepada setiap pembangunan yang dirancang.
Secara dasarnya, KEJORA telah melihat pembangunan sektor pelancongan melalui Program Pelancongan Desa perlu diketengahkan agar dapat mengembalikan kerancakan industri pelancongan luar bandar berpandukan kepada kapasiti sumberjaya yang ada di dalam Wilayah KEJORA terutamanya di daerah Kota Tinggi. Dalam masa yang sama, Pengurusan KEJORA berhasrat untuk mempelbagaikan lagi produk pelancongan di dalam Wilayah KEJORA serta melihat Pembangunan Pelancongan di Pulau Tanjung Surat dan Lembangan Sungai Sedili Besar yang merupakan produk yang sangat berpotensi untuk dimajukan.
Selari dengan itu juga, kajian pembangunan ekopelancongan dicadangkan untuk dilaksanakan bagi mengenalpasti tempat-tempat menarik di Pulau Tanjung Surat dan Lembangan Sungai Sedili Besar yang mempunyai nilai ekopelancongan, warisan, sejarah dan budaya untuk dibangunkan sebagai salah satu Produk Pelancongan Desa di Wilayah KEJORA.
Turut hadir pada hari ini ialah katua-ketua agensi Persekutuan dan Negeri Johor seperti PLANMalaysia, Pejabat Daerah Kota Tinggi, Majlis Daerah Kota Tinggi, Majlis Perbandaran Pengerang, Jabatan Perhutanan Negeri Johor, MOTAC, Tourism Johor serta banyak lagi. Selain itu juga, turut dijemput adalah JPKK Kawasan Sedili dan Kawasan Tanjung Surat serta Pengurusan Kanan KEJORA.
Tahniah kepada KEJORA kerana mengambil langkah awal dalam merancang pembangunan Wilayah Johor Tenggara agar berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah degan kawasan pelancongan yang lain.