header-inner-1
header-inner-3
header-inner-4
header-inner-5
header-inner-6
header-inner-7
BANNER-INNER
KORPORAT

Unit Audit Dalam

UAD
Nama: Mohamad Rizal bin Mohd Hidzir
 
E-mel: rizal[at]kejora[dot]gov[dot]my
 
No. Telefon: 07-8843161
OBJEKTIF

Objektif Unit Audit Dalam adalah untuk membantu pihak pengurusan dan Lembaga mencapai matlamatnya melalui pendekatan yang sistematik dan berdisiplin untuk menilai dan menentukan keberkesanan semua proses kawalan dan tadbir urus.

Unit Audit Dalam (UAD) merupakan satu fungsi bebas yang memberi kepastian dan khidmat perundingan secara objektif untuk menambah nilai dan mempertingkatkan tahap operasi organisasi.

Sejak penubuhan KEJORA, fungsi audit dalam dijalankan oleh juruaudit secara bersendirian tanpa penubuhan Unit Audit Dalam secara rasmi. Berdasarkan Surat Pekeliling Am Bil. 3 Tahun 1998, setiap Kementerian dan Agensi disarankan untuk menubuhkan UAD. Selaras dengan arahan tersebut, UAD KEJORA ditubuhkan secara rasmi pada tahun 2001.

Sepanjang tempoh penubuhannya, pelbagai perkembangan semasa dan peranan penting UAD telah berlaku. Sehubungan itu, Kementerian Kewangan mengeluarkan Pekeliling Perbendaharaan Bil. 9 Tahun 2004 yang berkuat kuasa pada 12 Oktober 2004. Pekeliling ini bertujuan memberi penjelasan mengenai peranan dan tanggungjawab UAD.

Pekeliling Perbendaharaan ini juga selari dengan Arahan Kewangan dan Perakaunan Lembaga Kemajuan Wilayah (AKP LKW) tahun 2022 (Bab 11 – Audit Dalam) yang dikeluarkan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW). Arahan ini berkuat kuasa pada 1 Mei 2022.

Terkini, Surat Pekeliling Am Bilangan 5 Tahun 2024 yang berkuat kuasa pada 30 April 2024 telah memperkukuh lagi peranan UAD.

Unit Audit Dalam hendaklah bertanggungjawab secara fungsi kepada Jawatankuasa Audit dan secara  pentadbiran kepada Pengurus Besar untuk menjamin keberkesanan Unit Audit Dalam.

Skop UAD meliputi penyemakan dan penilaian ke atas aktiviti dan operasi organisasi, anak syarikat dan syarikat subsidiari berkepentingan. Bidang tugas UAD seperti berikut:

  1. Mengkaji kebolehpercayaan dan keberkesanan sistem kewangan serta kawalan dalaman organisasi;
  2. Mengkaji tahap pematuhan kepada segala dasar, undang-undang, peraturan dan arahan yang berkuatkuasa;
  3. Mengkaji aktiviti organisasi diuruskan secara berhemat, cekap dan berkesan;
  4. Mengkaji aset dan kepentingan organisasi dilindungi dari segi kehilangan, penipuan dan penyelewengan;
  5. Memberi nasihat/pandangan mengenai kawalan dalaman terhadap semua sistem termasuk sistem teknologi maklumat;
  6. Mengkaji proses penilaian risiko di organisasi sekiranya pengurusan telah diwujudkan.

UAD bertanggungjawab bagi menjalankan pengauditan pengurusan kewangan dan pengauditan prestasi.

Pengauditan pengurusan kewangan merangkumi pemeriksaan terhadap sistem kewangan, kawalan dalaman dan rekod kewangan untuk menentukan sama ada perbelanjaan, hasil, aset dan stor telah diurus mengikut undang-undang, peraturan dan arahan yang berkaitan.

Pengauditan prestasi pula merangkumi penilaian terhadap aktiviti sesebuah organisasi untuk menentukan matlamatnya telah dicapai dan sumber digunakan secara berhemat, cekap dan berkesan.

Pengauditan UAD meliputi semua bahagian/unit di KEJORA.

Fungsi UAD adalah sepertimana berikut:

  1. Menyediakan Rancangan Tahunan UAD;
  2. Melaksanakan Proses Pengauditan;
  3. Menguruskan Mesyuarat Jawatankuasa Audit KEJORA; dan
  4. Menyediakan Laporan Tahunan.

Arahan Kewangan dan Perakaunan Lembaga Kemajuan Wilayah Tahun 2022 (AKP LKW 2022) para 11.8 menyatakan kuasa yang diberikan kepada UAD seperti berikut : –

  1. Dibenarkan meminta sesiapa pun untuk memberi sebarang penjelasan atau maklumat yang diperlukan semasa menjalankan tugas pengauditan dan penyiasatan;
  2. Dibenarkan melakukan carian dan/atau mendapatkan buku/dokumen/rekod atau cabutan daripada buku/dokumen/rekod di pejabat auditi;
  3. Dibenarkan menyemak segala rekod, buku, fail, minit, dokumen perakaunan, wang tunai, setem, sekuriti, stor atau harta benda lain yang tertakluk kepada pengauditan;
  4. Dibenarkan untuk merujuk kepada  pegawai Lembaga,  pegawai awam atau pegawai anak syarikat berkenaan perkara yang sedang diaudit; dan
  5. Dibenarkan menjalankan pengauditan sama ada dengan makluman atau secara pemeriksaan mengejut dari semasa ke semasa.

Penubuhan Jawatankuasa Audit menurut Arahan Kewangan dan Perakaunan Lembaga Kemajuan Wilayah Tahun 2022 (AKP LKW 2022) menyatakan seperti berikut:

  1. Jawatankuasa Audit hendaklah ditubuhkan melalui resolusi Lembaga Pengarah yang menggariskan terma rujukannya.
  2. Jawatankuasa Audit hendaklah dianggotai oleh tiga (3) hingga lima (5) orang yang terdiri daripada Ahli Lembaga Pengarah bukan eksekutif termasuk Pengerusinya. Pengerusi Jawatankuasa Audit boleh dilantik oleh ahlinya sendiri atau Lembaga Pengarah.
  3. Kuorum mesyuarat adalah seperti berikut:
  • Sekurang-kurangnya dua (2) orang bagi ahli seramai tiga (3) atau empat (4) orang; dan
  • Sekurang-kurangnya tiga (3) orang bagi ahli seramai lima (5) orang.

4. Jawatankuasa Audit hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya empat (4) kali dalam setahun.

Fungsi utama Jawatankuasa Audit ialah :

  1. Mengkaji keperluan Unit Audit Dalam termasuk piagamnya;
  2. Mengkaji keberkesanan dan kemampuan sistem kawalan dalaman;
  3. Mengkaji perancangan aktiviti audit yang meliputi skop kerja, jadual, keanggotaan serta penyelarasan di antara Unit Audit Dalam dan Audit Luar
  4. Mengkaji laporan daripada Unit Audit Dalam dan Audit Luar serta memperakui tindakan susulan yang perlu kepada Lembaga;
  5. Mengkaji dan menasihat Lembaga berhubung dengan Penyata Kewangan, prospektus dan laporan kewangan lain yang dikeluarkan;
  6. Mengkaji dan menasihat Lembaga berhubung dengan maklumat prestasi secara kuantitatif di atas aktiviti yang tertakluk kepada audit dan perkara lain yang melibatkan tanggungjawab sebagaimana yang diputuskan oleh Lembaga;
  7. Mengesan pematuhan kepada peraturan yang ditetapkan oleh Lembaga;
  8. Memastikan Lembaga sentiasa mengemas kini pelaksanaan kerja selaras dengan perubahan ikhtisas yang berlaku di bidang perakaunan seperti pengisytiharaan oleh Lembaga Piawaian Perakaunan Malaysia (MASB) dan/atau Jabatan Akauntan Negara Malaysia;
  9. Melaksanakan fungsi yang ditetapkan oleh Lembaga dari semasa ke semasa; dan
  10. Melaporkan kepada pihak pengurusan mengenai pegawai yang didapati melakukan penyelewengan untuk diambil tindakan yang sesuai.

CARTA ORGANISASI JKA 2025