LAWATAN PENANDA ARAS ELECTRIC VEHICLE (EV)
Dalam merancang, mengurus dan melaksanakan pembangunan luar bandar di wilayah KEJORA, aktiviti-aktiviti berteraskan pembangunan ekonomi dan keusahawanan menjadi teras dan fokus pengurusan KEJORA di dalam memastikan kesenjangan ekonomi luar bandar dan di bandar dapat diseimbangkan. Manakala kehadiran pelancong ke Wilayah KEJORA mula menunjukkan trend peningkatan selepas Covid-19 melanda negara.
Lanjutan dari perkembangan yang semakin memberangsangkan, bermula 4 hingga 6 Julai 2023 (Selasa – Khamis), satu sesi lawatan kerja KEJORA melalui Unit Ekonomi dan Usahawan dengan kerjasama Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah diadakan bagi melihat sendiri ruang serta peluang yang boleh dibangunkan di Wilayah KEJORA yang berkonsepkan ekonomi pelancongan.
Sesi lawatan yang bermula di Depoh & Bengkel Bas MARA Liner, Pekan Kuah, Langkawi telah membuka satu analogi baru dalam usaha KEJORA mendapatkan input tentang pembangunan industri Electrical Vehicle (EV) selaras dengan hasrat kerajaan dalam menyokong kearah kelestarian bumi. Selain itu juga, lawatan penanda aras ini dijadikan nilai tambah dan boleh diaplikasikan di Pusat Automotif KEJORA demi menyokong kepada industri pelancongan Wilayah KEJORA.
Rombongan dari KEJORA juga turut diberikan taklimat berkaitan dengan pembangunan dan pengoperasian bas EV oleh Bahagian Pelaburan MARA diketuai oleh En. Mohd Diah bin Abas, Pengarah Kanan Pelaburan MARA bersama kumpulan pembangunan MARA Liner Sdn Bhd. Manakala pihak KEJORA telah diketui oleh En. Sheikh Khayulzahri bin A.Raof, Pengurus Pembangunan Sosial & Pemajuan Desa serta pegawai daripada pengurusan pembangunan iaitu Unit Ekonomi dan Usahawan, Unit Pengurusan Fasiliti, Bahagian Pelancongan, Unit Teknikal, Unit Pelaburan dan Unit Komunikasi Korporat. Turut bersama-sama KEJORA adalah syarikat LIAS Maju Tyre dan JHAS Automotive Specialist Sdn Bhd.
Manakala lawatan di Ibu Pejabat TNB, pihak KEJORA telah diberikan taklimat yang diketuai oleh En. Wan Ahmad Zam Zam bin Wan Abd. Wahab, Pengarah Program (PMO Electric Vehicle). Turut sama hadir adalah Datin Nurulhayati binti Anual serta En. Hisyam bin Hasib, Bahagian Pembangunan dan Pemasaran (PMO Electric Vehicle).
Diharapkan platform yang berpotensi tinggi ini dapat memberi manfaat kepada KEJORA serta usahawan luar bandar dalam Wilayah KEJORA khususnya bidang automotif dalam usaha meneroka serta meningkatkan jaringan perniagaan serta mempromosi pelancongan Wilayah KEJORA.