Unit Audit Dalam

LATAR BELAKANG

Unit Audit Dalam (UAD) merupakan satu fungsi bebas yang memberi kepastian dan khidmat perundingan secara objektif untuk menambah nilai dan mempertingkatkan tahap operasi organisasi.

Sejak dari penubuhan KEJORA, fungsi Audit dijalankan oleh Juruaudit secara bersendirian tanpa penubuhan Unit Audit Dalam secara rasmi. Seterusnya, Kerajaan telah mengeluarkan Pekeliling iaitu Pekeliling Perbendaharaan Bil. 2 Tahun 1979 dan Surat Pekeliling Am Bil. 3 Tahun 1998 menetapkan supaya setiap Kementerian dan Agensi menubuhkan UAD masing-masing. Selaras dengan kuasa tersebut, UAD Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) ditubuhkan secara rasminya pada tahun 2001.

Selanjutnya, pelbagai perkembangan semasa dan peranan penting UAD telah berlaku sepanjang tempoh penubuhannya. Sehubungan itu, Kementerian Kewangan telah mengeluarkan Pekeliling Perbendaharaan Bil. 9 Tahun 2004 yang berkuatkuasa pada 12 Oktober 2004. Pekeliling ini bertujuan memberi penjelasan mengenai peranan dan tanggungjawab UAD.

Pekeliling Perbendaharaan ini juga adalah selari dengan Arahan Kewangan dan Perakaunan Lembaga Kemajuan Wilayah (AKP LKW) 2006 dan AKP LKW 2010 (Bab 12 Audit Dalam) yang dikeluarkan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW). Arahan ini berkuatkuasa pada 1 Januari 2010.

KEBERKESANAN UNIT AUDIT DALAM

Ketua Unit Audit Dalam hendaklah bertanggungjawab secara fungsi kepada Jawatankuasa Audit dan secara pentadbiran kepada Pengurus Besar untuk menjamin keberkesanan Unit Audit Dalam.

OBJEKTIF UNIT AUDIT DALAM

Membantu pihak pengurusan dan Lembaga melaksanakan tanggungjawabnya dengan berkesan. Juruaudit Dalaman dikehendaki memberi kepastian dan khidmat perundingan secara bebas dan objektif bertujuan untuk menambah nilai dan memperbaiki operasi sesebuah organisai. Ia membantu sesebuah organisasi mencapai objektif pendekatan bersistematik dan berdisplin untuk menilai dan meningkatkan keberkesanan proses pengurusan risiko, kawalam dan tadbir urus.

SKOP DAN BIDANG TUGAS UNIT AUDIT DALAM

Skop UAD meliputi penyemakan dan penilaian ke atas aktiviti dan operasi organisasi, anak syarikat dan syarikat subsidiari berkepentingan. Bidang tugas UAD seperti berikut:

  1. Mengkaji kebolehpercayaan dan keberkesanan sistem kewangan serta kawalan dalaman organisasi;
  2. Mengkaji tahap pematuhan kepada segala dasar, undang-undang, peraturan dan arahan yang berkuatkuasa;
  3. Mengkaji aktiviti organisasi diuruskan secara berhemat, cekap dan berkesan;
  4. Mengkaji aset dan kepentingan organisasi dilindungi dari segi kehilangan, penipuan dan penyelewengan;
  5. Memberi nasihat/pandangan mengenai kawalan dalaman terhadap semua sistem termasuk sistem teknologi maklumat;
  6. Mengkaji proses penilaian risiko di organisasi sekiranya pengurusan telah diwujudkan.

PERANAN DAN FUNGSI

UAD bertanggungjawab bagi menjalankan pengauditan pengurusan kewangan dan pengauditan prestasi. Pengauditan pengurusan kewangan merangkumi pemeriksaan terhadap sistem kewangan, kawalan dalaman dan rekod kewangan untuk menentukan sama ada perbelanjaan, hasil, aset dan stor telah diurus mengikut undang-undang, peraturan dan arahan yang berkaitan. Manakala pengauditan prestasi pula merangkumi penilaian terhadap aktiviti sesebuah organisasi untuk menentukan matlamatnya telah dicapai dan sumber digunakan secara berhemat, cekap dan berkesan. Pengauditan UAD meliputi semua Bahagian / Unit di KEJORA.

  1. Menyediakan Rancangan Tahunan UAD
  2. Melaksanakan Proses Pengauditan
  3. Menguruskan Mesyuarat Jawatankuasa Audit KEJORA
  4. Menyediakan Laporan Tahunan

KUASA UAD

AKP LKW 2010 para 12.7 menyatakan kuasa yang diberikan kepada UAD seperti berikut : –

  1. Boleh meminta sesiapa pun untuk memberi sebarang penjelasan atau maklumat yang diperlukan semasa menjalankan tugas pengauditan dan penyiasatan;
  2. Boleh melakukan carian dan / atau mendapatkan buku / dokumen / rekod atau cabutan daripada buku / dokumen / rekod di pejabat auditi;
  3. Berhak menyemak segala rekod, buku, fail, minit, dokumen perakaunan, wang tunai, setem, sekuriti, stor atau harta benda lain yang tertakluk kepada auditan;
  4. Boleh merujuk kepada seseorang pegawai Lembaga atau pegawai awam berkenaan perkara yang sedang diaudit;
  5. Boleh menjalankan auditan sama ada dengan makluman atau secara pemeriksaan mengejut dari semasa ke semasa.

PENUBUHAN JAWATANKUASA AUDIT

Penubuhan Jawatankuasa Audit menurut Arahan Kewangan dan Perakaunan Lembaga Kemajuan Wilayah Tahun 2010 (AKP LKW 2010) menyatakan seperti berikut:

  1. Jawatankuasa Audit hendaklah ditubuhkan melalui resolusi Lembaga Pengarah yang menggariskan terma rujukannya
  2. Jawatankuasa Audit hendaklah dianggotai oleh 3 hingga 5 orang yang terdiri daripada Ahli Lembaga Pengarah bukan eksekutif termasuk Pengerusinya. Pengerusi Jawatankuasa Audit boleh dilantik oleh ahlinya sendiri atau Lembaga Pengarah.
  3. Korum mesyuarat yang diwajibkan ialah 3 ⁄ 4 daripada ahlinya. Bagi ahli seramai tiga (3) orang, korum mesyuarat sekurang-kurangnya dua (2) orang ahli manakala keahlian seramai lima (5) orang pula adalah tiga (3) orang ahli.
  4. Jawatankuasa ini bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh tiga (3) bulan atau seperti yang ditentukan oleh Pengerusinya

FUNGSI UTAMA JAWATANKUASA AUDIT KEJORA

Fungsi utama Jawatankuasa Audit ialah :

  1. Mengkaji keperluan UAD termasuk piagamnya.
  2. Mengkaji keberkesanan dan kemampuan sistem kawalan dalaman
  3. Mengkaji perancangan aktiviti audit oleh Juruaudit Dalam yang meliputi skop kerja, jadual, keanggotaan serta penyelarasan di antara Juruaudit dan Juruaudit Dalam Kementerian.
  4. Mengkaji laporan daripada Juruaudit Dalam dan Juruaudit serta memperakui tindakan susulan yang perlu kepada Lembaga.
  5. Mengkaji dan menasihat Lembaga berhubung dengan Penyata Kewangan, prospektus dan laporan kewangan lain yang dikeluarkan.
  6. Mengkaji dan menasihat Lembaga berhubung dengan maklumat prestasi secara kuantitatif di atas aktiviti yang tertakluk kepada audit dan perkara lain yang melibatkan tanggungjawab sebagaimana yang diputuskan oleh Lembaga.
  7. Mengesan pematuhan kepada peraturan yang ditetapkan oleh Lembaga.
  8. Memastikan Lembaga sentiasa mengemaskini pelaksanaan kerja selaras dengan perubahan ikhtisas yang berlaku di bidang perakaunan seperti pengisytiharaan oleh Lembaga Piawaian Perakaunan Malaysia (MASB).
  9. Melaksanakan fungsi yang ditetapkan oleh Lembaga dari semasa ke semasa.
  10. Melaporkan kepada pihak pengurusan mengenai pegawai yang didapati melakukan penyelewengan untuk diambil tindakan yang sesuai.