TAKLIMAT KESEDARAN PERLAKSANAAN PENGGUNAAN PROJEK SISTEM DIGITAL DOCUMENTATION MANAGEMENT SYSTEM (DDMS)
Pengurusan KEJORA yang diketuai oleh Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) Puan Marlina binti Amir telah mengikuti Taklimat Kesedaran Perlaksanaan Penggunaan Projek Sistem Digital Documentation Management System (DDMS) pada 13 Februari 2023 bertempat di Bilik Mesyuarat Balau. Taklimat dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah disampaikan oleh Pegawai Arkib, Encik Mohamad Faiz bin Ismail.
Taklimat ini dilaksanakan dengan tujuan memberi pendedahan kepada pihak pengurusan KEJORA berkaitan tentang DDMS dan secara tidak langsung membantu KEJORA memahami konsep baharu berkaitan pengurusan rekod dan klasifikasi fail menggunakan DDMS.
DDMS adalah merupakan salah satu inisiatif kerajaan bagi projek di bawah Entry Points Projects (EPP) eGovernment iaitu Pelaksanaan Kerajaan Tanpa Kertas (Paperless Government). Projek ini dilaksanakan secara berperingkat di seluruh sektor awam bermula tahun 2013. Ia diadakan bertujuan untuk mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan dan capaian rekod serta ketelusan perkhidmatan kerajaan melalui penggunaan teknologi ICT.
Selain itu, DDMS juga adalah sistem pengurusan rekod yang menguruskan rekod rasmi kerajaan bagi keseluruhan kitaran hayatnya iaitu daripada proses pewujudan, penawanan, penyimpanan, penyelenggaraan, pengedaran dan pelupusan rekod sistematik secara digital. Sistem DDMS ini diperkenalkan oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dengan kerjasama Arkib Negara Malaysia (ANM) dan Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO) dengan tujuan mempertingkatkan penyampaian dan ketelusan perkhidmatan kerajaan melalui capaian pengurusan rekod digital (elektronik) any where, any time and any device.
Di dalam ucapan aluan oleh Puan Marlina binti Amir, beliau berbesar hati agar sistem DDMS di KEJORA dapat dilaksanakan pada tahun ini dan mengharapkan bimbingan dan tunjuk ajar daripada pihak KKDW terutama dari Pegawai Arkib KKDW.
Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan taklimat ini dengan penuh dedikasi.