header-inner-1
LAYER-HEADER-INNNERLAYER-HEADER-INNNER
header-inner-3
header-inner-4
header-inner-5
header-inner-6
header-inner-7

TENGGARA OUTDOOR CHALLENGE 2025 TUTUP TIRAI DENGAN PENUH WARNA

YB Tuan Haji Manndzri bin Haji Nasib, Ahli Parlimen Tenggara merangkap Pengerusi RISDA telah sudi hadir menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Tenggara Outdoor Challenge 2025 yang berlangsung dari 8 hingga 9 November 2025 di Stadium Bandar Tenggara dan Litar Motorcross Bandar Tenggara, Kota Tinggi, Johor.
Edisi ketujuh penganjuran kali ini membawa nafas baharu apabila acara yang dahulunya dikenali sebagai KEJORA Outdoor Motocross Challenge kini dijenamakan semula sebagai Tenggara Outdoor Challenge. Pendekatan ini memperluas fokus daripada sekadar perlumbaan motosikal lasak kepada pelbagai aktiviti rekreasi termasuk Motocross Challenge dan Fun Ride, membolehkan penglibatan lebih menyeluruh daripada masyarakat setempat.
Penjenamaan semula ini mengekalkan elemen sukan ekstrem yang menjadi identiti acara, sambil memperkukuh nilai gaya hidup sihat, semangat kesukarelawanan dan perpaduan komuniti. Ia turut membuka ruang untuk menjadikan kawasan Tenggara, khususnya Litar Motorcross Bandar Tenggara, sebagai destinasi tumpuan aktiviti sukan lasak dan pelancongan sukan di negeri Johor. Sepanjang dua hari penganjuran, acara ini telah menerima anggaran kehadiran lebih 50,000 pengunjung yang membanjiri kawasan program dengan pelbagai aktiviti menarik dan gerai jualan usahawan.
Menariknya, hasil jualan sepanjang program berjaya mencecah RM23,113.50, sekali gus membuktikan impak positif terhadap ekonomi tempatan. Penganjuran kali ini turut mendapat kerjasama strategik daripada pelbagai rakan utama termasuk Media Digital Johor (MDJ), Tourism Johor, Tourism Johor Wilayah Selatan, Aliyah Rizq Farm, DUN Panti melalui inisiatif Jualan Kasih, RISDA bagi penyediaan Rissmart, Parlimen Pengerang, serta Kelab Sukan Bermotor DTSI. Program ini turut mendapat bantuan dan penglibatan aktif daripada Sukarelawan Southern Volunteers yang membantu melancarkan perjalanan acara sepanjang program berlangsung.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah YB Puan Rashidah binti Ismail, ADUN Kawasan Pasir Raja, YBrs. Encik Mohd Hanafi bin Jantan, Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) KEJORA, Tuan Haji Muhd Khairuddahri bin Abdul Rahman, Pengarah RISDA Negeri Johor, dan Encik Haslam bin Mohd Noor, Presiden Kelab Sukan Bermotor DTSI.
Tahniah diucapkan kepada semua pemenang yang berjaya dalam kategori masing-masing. Penghargaan turut diberikan kepada pihak penganjur, rakan strategik, petugas dan para sukarelawan yang telah memastikan kejayaan penganjuran Tenggara Outdoor Challenge 2025.