Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT)

OBJEKTIF

Meningkatkan kualiti hidup keluarga miskin tegar dan miskin dengan membina atau membaik pulih rumah bagi menyediakan tempat kediaman yang lebih selamat dan selesa sebagai asas pertumbuhan sesebuah keluarga.

 
SKOP BANTUAN

Kawasan liputan PPRT adalah di kawasan luar bandar dan kawasan-kawasan yang telah diputuskan oleh pihak Kerajaan. Skop PPRT terbahagi kepada 2 kategori iaitu:

  • Bina Baharu
    Bantuan diberikan kepada peserta yang tidak mempunyai rumah atau rumah yang didiami terlalu uzur, tidak selamat diduduki dan tidak ekonomik untuk dibaiki.

  • Baik Pulih
    Bantuan diberikan kepada peserta yang mempunyai rumah yang masih ekonomik untuk dibaiki. Skop bantuan baik pulih hanya melibatkan komponen-komponen asas sesebuah rumah seperti bumbung (kekuda dan alang), atap, siling, tangga, dapur, tandas, bilik air, pintu, dinding, lantai simen/kayu, tingkap, perpaipan, perparitan (perimeter drain / saluran keluar), pembentungan/kumbahan, titian laluan ke rumah atas air dan pendawaian elektrik.

    Rumah yang didiami mengalami kerosakan kecil atau disebabkan faktor musibah seperti kebakaran, banjir, tanah runtuh dan ribut. Walau bagaimanapun, baik pulih rumah tersebut tidak termasuk kerja-kerja membina/ baik pulih bahagian luar rumah seperti pagar, garaj, perigi dan lain-lain. Bahan binaan yang digunakan hendaklah sama atau setara dengan spesifikasi bahan binaan bina baharu.