KEJORA PERKUKUH KERJASAMA STRATEGIK BERSAMA PEJABAT DAERAH KOTA TINGGI
Sesi Kunjungan Hormat Pengurus Besar KEJORA, YBrs. Encik Mohd Gadaffie bin Abd Aziz ke Pegawai Daerah Kota Tinggi iaitu YBhg. Tuan Hj. Miswan bin Yunus di Pejabat Daerah Kota Tinggi pada 8 Januari berjalan dengan lancar dalam suasana yang mesra dan positif. Pertemuan ini menjadi ruang penting untuk mengukuhkan hubungan kerja antara KEJORA dan pihak pentadbiran daerah, sambil menyelaraskan hala tuju pembangunan yang lebih tersusun untuk Daerah Kota Tinggi.
Dalam perbincangan ini, antara perkara utama yang diketengahkan ialah peruntukan pembangunan KEJORA untuk Daerah Kota Tinggi berjumlah RM26.7 juta. Daripada jumlah tersebut, RM21.1Juta diperuntukkan untuk pembangunan fizikal manakala RM3.8Juta bagi pembangunan bukan fizikal sebagai langkah memperkukuh prasarana dan memperkasakan program komuniti yang memberi manfaat terus kepada rakyat.
Tuan Pegawai Daerah Kota Tinggi turut mencadangkan agar KEJORA meneliti kaedah usahasama yang lebih berkesan dalam membangunkan Bandar Kota Tinggi, khususnya dalam aspek pemerkasaan ekonomi setempat dan pembangunan usahawan tempatan. Cadangan ini membuka peluang kolaborasi yang lebih luas dan berpotensi menjadikan pembangunan bandar lebih hidup, inklusif dan berimpak tinggi.
Selain itu, perbincangan turut menyentuh perkembangan Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) di Daerah Kota Tinggi termasuk projek PPRS Taman Sinar Sedili.
KEJORA komited untuk memastikan pelaksanaan program ini terus diperkasa agar lebih ramai rakyat dapat menikmati kediaman yang selesa, selamat dan berkualiti, seiring usaha membina komuniti yang lebih sejahtera.
























