PSR@KKDW 2.0: MEMBINA ASAS KUKUH KEUSAHAWANAN BELIA LUAR BANDAR
KEJORA telah melaksanakan Bengkel Kick-Off Program Start Right (PSR) @ KKDW 2.0 kepada usahawan belia luar bandar terpilih bertempat di Sunway Hotel, Iskandar Puteri, Johor.
Melalui pelaksanaan program ini, seramai 20 orang peserta telah menerima sokongan permulaan perniagaan yang merangkumi latihan keusahawanan serta bantuan mesin dan peralatan perniagaan mengikut bidang masing-masing. Inisiatif anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dengan kerjasama KEJORA ini diyakini dapat memperkukuh ekosistem keusahawanan luar bandar, sekali gus membuka peluang kepada golongan belia B40 menjadikan perniagaan sebagai sumber pendapatan yang stabil dan berdaya saing.
Bengkel ini merangkumi tiga modul utama iaitu pengukuhan asas pengurusan perniagaan, strategi pemasaran serta pengurusan kewangan secara lebih sistematik dan berkesan. Melalui pendekatan latihan interaktif, perkongsian kepakaran dan sesi coaching secara langsung, peserta memperoleh ilmu serta kemahiran praktikal yang boleh terus diaplikasikan bagi meningkatkan prestasi jualan, kecekapan operasi dan kelestarian perniagaan.
KEJORA kekal komited dalam melahirkan lebih ramai usahawan desa yang berdaya saing, berdaya tahan dan progresif demi merancakkan pembangunan ekonomi setempat serta memperkukuh kesejahteraan komuniti luar bandar.

















































