BENGKEL MS ISO 9001:2015 : MEMPERKUKUH KUALITI TADBIR URUS KEJORA
Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) terus memperkukuh Sistem Pengurusan Kualiti (SPK) dengan mengadakan Bengkel Sistem Pengurusan Kualiti MS ISO 9001:2015 Tahun 2026 bermula 10 hingga 12 Februari di Hotel Desaru Penawar, Bandar Penawar.
Majlis penutupan telah disempurnakan oleh YBrs. Encik Mohd Hanafi bin Jantan, Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) mewakili Pengurus Besar. Di dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa sebagai sebuah Agensi Pembangunan Wilayah, keberkesanan Sistem Pengurusan Kualiti (SPK) memberi kesan langsung kepada kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat, pemegang taruh dan rakan strategik. Oleh itu, setiap warga kerja perlu memahami bahawa tanggungjawab terhadap SPK bukan terletak pada satu unit atau jawatankuasa sahaja, tetapi merupakan tanggungjawab bersama seluruh organisasi.
KEJORA juga akan terus melangkah sebagai sebuah institusi yang berfikir (Thinking Institution) yang bukan sekadar melaksana tugas, tetapi sentiasa menilai, meneliti dan menambah baik setiap proses kerja. Melalui pendekatan sistematik seperti pelaksanaan MS ISO 9001:2015, budaya kerja kita dipacu oleh data, prosedur yang jelas serta semangat penambahbaikan berterusan yang menjadi asas kepada organisasi yang matang, responsif dan sentiasa bersedia mendepani cabaran pembangunan wilayah secara strategik dan berimpak tinggi.
KEJORA akan terus komited dalam usaha menjadi pelopor pembina ekosistem luar bandar yang mencipta nilai jangka panjang secara adil, bertanggungjawab dan mampan. Dengan sistem yang kukuh, budaya integriti dan komitmen terhadap penambahbaikan berterusan, KEJORA bukan sahaja meningkatkan kecekapan organisasi, malah membina asas pembangunan yang stabil dan berdaya tahan.
Inilah komitmen KEJORA dalam memastikan setiap langkah yang diambil hari ini menjadi pelaburan bermakna untuk masa depan wilayah Johor Tenggara dan kesejahteraan rakyat keseluruhannya.



































