MELAKAR EKOSISTEM DIGITAL HOLISTIK KEJORA MELALUI KEPAKARAN MYSA
Langkah awal kerjasama strategik antara Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) dan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) telah dimulakan melalui Mesyuarat serta Lawatan Tapak ke lima (5) lokasi Projek Perintis Wilayah KEJORA pada 14 April 2026. Inisiatif ini diteruskan dengan penganjuran Bengkel Dokumen Keperluan Pengguna (User Requirement Document, URD) pada 15 hingga 17 April 2026 di Hotel Hatten, Melaka.
Pembangunan Sistem KEJORA-MYSA dijangka menjadi pemangkin utama kepada transformasi digital Wilayah KEJORA, khususnya dalam aspek perancangan, pengurusan serta pemantauan projek pembangunan secara lebih sistematik, tepat dan berkesan. Melalui penggunaan teknologi angkasa seperti data satelit dan analisis geospatial, sistem ini bakal memperkukuh keupayaan membuat keputusan berasaskan data, seterusnya memastikan penggunaan guna tanah yang lebih optimum serta mampan selari dengan keperluan pembangunan luar bandar.
KEJORA dan MYSA optimis bahawa hasil daripada bengkel URD ini akan menjadi asas kukuh dalam membangunkan sistem yang holistik, berimpak tinggi dan memenuhi keperluan sebenar pengguna. Usaha ini diharap dapat memperkasa ekosistem pembangunan luar bandar yang inklusif, berdaya saing dan lestari, seterusnya menyokong hala tuju negara ke arah pendigitalan sektor awam yang lebih progresif. Kolaborasi ini juga mencerminkan komitmen berterusan dalam memanfaatkan teknologi demi kesejahteraan komuniti dan kemajuan Wilayah KEJORA secara menyeluruh.



















































