LAWATAN KERJA MBPG KE MUZIUM NELAYAN TANJUNG BALAU PERKUKUH KOLABORASI STRATEGIK PELANCONGAN JOHOR
Muzium Nelayan Tanjung Balau di bawah KEJORA berbesar hati menerima lawatan kerja daripada Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) yang diketuai oleh YBrs. Encik Abd Majid bin Sapihe, Timbalan Setiausaha MBPG bersama delegasi beberapa jabatan MBPG. Lawatan ini menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan strategik serta membuka ruang kerjasama dalam memperkasa sektor pelancongan, warisan dan pendidikan di negeri Johor.
Kerjasama ini selari dengan aspirasi Tahun Melawat Johor 2026 bagi mempromosikan destinasi pelancongan berasaskan warisan dan ekopelancongan, khususnya di kawasan Desaru dan Pengerang. Sepanjang lawatan, delegasi MBPG telah diberikan taklimat mengenai pengurusan dan pembangunan muzium serta dibawa melawat galeri utama seperti Galeri Nelayan Tradisional, Galeri Geologi, Galeri Kapal Karam Desaru dan Galeri Keselamatan Laut.
Lawatan ini turut menjadi medium pertukaran idea berkaitan pengurusan muzium yang lebih interaktif dan berdaya saing, termasuk potensi penganjuran program bersama dan promosi silang destinasi pelancongan Johor. Pihak KEJORA merakamkan penghargaan atas kesudian MBPG memilih Muzium Nelayan Tanjung Balau sebagai lokasi lawatan penanda aras dan berharap kerjasama strategik ini terus diperkukuhkan pada masa hadapan.













































