SANTAI, MAKANAN LAUT & KEINDAHAN ALAM! YB TIMBALAN MENTERI KKDW DI DESA KIRANA PULAU TANJUNG SURAT
Lawatan kerja YB Datuk Hajah Rubiah binti Haji Wang, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah ke Desa Kirana Pulau Tanjung Surat hari ini membuktikan komitmen berterusan KKDW dalam memperkasa pembangunan pelancongan desa, ekonomi komuniti serta mempromosikan keunikan warisan tempatan Johor.
Ketibaan beliau disambut meriah oleh pengurusan KEJORA, pemimpin masyarakat dan komuniti setempat sebelum meneruskan lawatan ke beberapa lokasi tarikan utama termasuk Galeri Jong, homestay, Galeri Warisan dan kawasan ekopelancongan bakau Pulau Tanjung Surat.
Lawatan ini turut menyerlahkan keistimewaan gastronomi makanan laut Pulau Tanjung Surat yang menjadi identiti dan tarikan utama kawasan ini. YB Timbalan Menteri berpeluang menyaksikan demonstrasi masakan tradisi masyarakat setempat yang menampilkan hidangan berasaskan hasil laut segar seperti ketam, udang, ikan dan kupang yang terkenal dengan keenakan rasa asli pesisir pantai Johor. Keunikan sajian tradisional ini bukan sahaja mencerminkan kekayaan budaya komuniti nelayan, malah berpotensi besar untuk diketengahkan sebagai produk pelancongan gastronomi desa bertaraf antarabangsa.
Dalam lawatan tersebut, YB Datuk Hajah Rubiah turut menyempurnakan sesi penyerahan sijil homestay kepada pengusaha serta penyerahan buggy dan basikal kepada Koperasi Pelancongan Pulau Tanjung Surat Berhad (KPPTSB) bagi memperkukuh kemudahan pelancongan desa.
Turut hadir di dalam lawatan ini YB Tuan Aznan bin Tamin, ADUN Tanjung Surat, YB Puan Fauziah binti Misri, ADUN Penawar, YBrs. Encik Mohd Gadaffie bin Abd Aziz, Pengurus Besar KEJORA, YBrs. Encik Zaflin bin Pakwanteh, SUB Komuniti Desa KKDW serta wakil-wakil agensi persekutuan dan negeri.
Healing, Seafood & Nature @ DESA KIRANA Pulau Tanjung Surat






















































































