header-inner-1
LAYER-HEADER-INNNERLAYER-HEADER-INNNER
header-inner-3
header-inner-4
header-inner-5
header-inner-6
header-inner-7
SPIKE 2026: MEMPERKASA LITERASI AI DAN KESEDARAN SIBER GOLONGAN SASAR WILAYAH KEJORA
Bandar Penawar, 18 Jun – Program Sinergi Pintar AI dan Keselamatan ICT (SPIKE) Wilayah KEJORA 2026 telah berlangsung serentak di Lotus Desaru Beach Resort & Spa dan Dewan KEJORA Bandar Penawar dengan pengisian yang berbeza mengikut kumpulan sasaran.
Majlis Perasmian Penutup telah disempurnakan oleh YBrs. Puan Marlina binti Amir, Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan), selaku wakil rasmi Pengurus Besar KEJORA. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa SPIKE 2026 telah berjaya menjadi platform strategik dalam memperkasa literasi digital, memperkenalkan penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) secara beretika serta meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan siber dalam kalangan pelajar dan komuniti luar bandar. Beliau turut menyatakan bahawa kerjasama erat antara pelbagai pihak telah membantu merapatkan jurang digital, sekali gus melahirkan masyarakat yang lebih celik teknologi, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran era digital selaras dengan aspirasi pembangunan luar bandar yang mampan dan inklusif.
Pelajar sekolah menengah yang mengikuti program di Dewan KEJORA Bandar Penawar didedahkan kepada penggunaan teknologi AI melalui NotebookLM bagi membantu merumuskan maklumat, menyusun penulisan dan menghasilkan kandungan yang lebih teratur, selain mempelajari cara menghasilkan slaid pembentangan yang kreatif menggunakan Canva. Pada masa yang sama, anggota KEJORA dan ahli JPKK Wilayah KEJORA yang berkumpul di Ballroom Lotus Desaru Beach Resort & Spa mengikuti sesi kesedaran keselamatan siber yang memberi pendedahan kepada ancaman digital terkini seperti peniruan suara AI, teknologi Deepfake, penipuan QR Pay dan pautan berbahaya melalui demonstrasi secara langsung bagi meningkatkan kesedaran serta keselamatan penggunaan teknologi digital.
KEJORA merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Tinggi, Kulai dan Kluang, JPKK Wilayah KEJORA serta Pusat Komuniti Desa (PKD) Wilayah KEJORA atas komitmen, kerjasama dan sokongan berterusan sebagai rakan strategik dalam menjayakan program ini demi kesejahteraan komuniti Wilayah KEJORA.