SANTUNAN KASIH, SEMANGAT KOMUNITI TERUS MEKAR DI TANJUNG SEDILI
Program Santunan Kasih @ Tanjung Sedili sempena Program Desa Rendah Karbon KEJORA Tahun 2026 telah berlangsung dengan jayanya pada 4 Julai 2026 di Dewan Serbaguna Tanjung Sedili, Kota Tinggi dengan menghimpunkan lebih 500 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Program anjuran Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) ini bukan sekadar memupuk amalan gaya hidup rendah karbon, malah menjadi platform memperkukuh perpaduan komuniti, memperkasakan penyertaan rakyat serta menyemai nilai tanggungjawab bersama dalam memelihara alam sekitar. Kehadiran masyarakat yang begitu memberangsangkan membuktikan bahawa agenda pembangunan lestari mampu digerakkan secara inklusif dengan sokongan padu seluruh komuniti.
Lebih bermakna, program ini turut diserikan dengan penyertaan dari Warga Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) sebagai rakan strategik melalui perkongsian pengalaman dan amalan terbaik dalam pembangunan komuniti serta kelestarian wilayah. Jalinan kerjasama antara kedua-dua agensi pembangunan wilayah ini mencerminkan komitmen bersama untuk membina komuniti yang lebih berdaya tahan, berdaya saing dan mampan. Sinergi yang terjalin diharap dapat membuka lebih banyak ruang kolaborasi strategik demi memperkasakan pembangunan luar bandar yang memberi manfaat berterusan kepada rakyat.
Sepanjang program berlangsung, suasana cukup meriah dengan pelbagai pengisian yang berjaya menyatukan masyarakat tanpa mengira usia. Antaranya ialah My Kampung Fun Run, gotong-royong, rewang sekampung, sukan rakyat bowling kelapa, pertandingan mewarna, pemeriksaan kesihatan, pameran agensi, cabutan bertuah serta pelbagai aktiviti berteraskan kelestarian alam sekitar. Setiap aktiviti bukan sahaja menceriakan suasana, malah berjaya mengeratkan silaturahim, menyemarakkan semangat kejiranan dan meningkatkan kesedaran bahawa penjagaan alam sekitar bermula daripada tindakan kecil yang dilakukan bersama-sama.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada seluruh warga KETENGAH atas sokongan dan penyertaan yang amat bermakna, serta kepada seluruh warga Tanjung Sedili, pemimpin masyarakat, sukarelawan, rakan strategik, agensi kerajaan dan semua pihak yang telah bertungkus-lumus menjayakan program ini. Semoga semangat kebersamaan yang terjalin akan terus mekar, menjadi inspirasi kepada lebih banyak inisiatif berimpak tinggi, dan menjadi pemangkin kepada usaha membangunkan Wilayah KEJORA sebagai wilayah yang lebih hijau, rendah karbon, lestari dan sejahtera demi kesejahteraan generasi hari ini dan masa hadapan.



























































































