PROJEK KAHANG DIPANTAU RAPI, KOMITMEN KEJORA KEKAL TEGUH
Setiap projek pembangunan memerlukan pemantauan yang berterusan bagi memastikan setiap perancangan dapat dilaksanakan mengikut jadual demi manfaat rakyat.
Lanjutan itu, YBrs. Puan Marlina binti Amir, Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) KEJORA telah mengadakan lawatan kerja dan turun padang ke tapak Projek Cadangan Membina & Menyiapkan Perumahan Kampung Tersusun Kahang (Fasa 1), Mukim Kahang, Daerah Kluang, Johor bagi meninjau perkembangan semasa pelaksanaan projek tersebut.
Projek yang telah dimulakan pada 8 April 2026 ini dijangka siap sepenuhnya pada 7 April 2028. Sehingga lawatan diadakan, kerja-kerja di tapak melibatkan pembersihan kawasan dan kerja tanah, dengan kemajuan fizikal direkodkan sebanyak 1.74% berbanding 2.48% yang dijadualkan.
Dalam lawatan tersebut, Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) KEJORA mengingatkan pihak kontraktor supaya terus memberi komitmen penuh serta melaksanakan kerja mengikut jadual yang telah ditetapkan. Beliau menegaskan bahawa pematuhan terhadap perancangan projek amat penting bagi memastikan pembangunan dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan sekali gus membolehkan rakyat menikmati kemudahan dan manfaat yang telah dirancang.
KEJORA akan terus memperkukuh pemantauan pelaksanaan projek-projek pembangunan bagi memastikan setiap inisiatif dilaksanakan dengan cekap, berkualiti dan memberi impak positif kepada kesejahteraan masyarakat.
Semoga Projek Perumahan Kampung Tersusun Kahang (Fasa 1) dapat disiapkan mengikut jadual, seterusnya menyediakan persekitaran kediaman yang selesa, terancang dan berkualiti kepada penduduk serta menjadi pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi komuniti di kawasan Kahang serta Daerah Kluang.


























