header-inner-1
LAYER-HEADER-INNNERLAYER-HEADER-INNNER
header-inner-3
header-inner-4
header-inner-5
header-inner-6
header-inner-7
KEJORA 2.0: MENELUSURI TRANSFORMASI JCORP, MEMACU ORGANISASI MASA HADAPAN
Dalam usaha memperkukuh agenda transformasi KEJORA 2.0, satu Lawatan Penanda Aras ke Johor Corporation (JCORP) telah diadakan bagi mendapatkan pendedahan serta perkongsian amalan terbaik dalam aspek transformasi organisasi, pengurusan strategik dan pemanfaatan teknologi.
Delegasi KEJORA diketuai oleh YBrs. Encik Mohd Gadaffie bin Abd Aziz, Pengurus Besar KEJORA, bersama Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan), Pengurus Pentadbiran & Pengurusan Sumber Manusia (PPSM), Pengurus Bahagian Teknologi Maklumat (TM), Ketua Pegawai Eksekutif KDH serta wakil-wakil bahagian KEJORA. Lawatan ini menjadi platform strategik untuk menelusuri pengalaman JCORP dalam membangunkan sebuah organisasi yang progresif, berdaya tahan dan berorientasikan impak.
Sepanjang sesi tersebut, delegasi KEJORA diberikan perkongsian mengenai evolusi dan perjalanan transformasi JCORP daripada sebuah perbadanan ekonomi negeri kepada sebuah institusi pelaburan dan pembinaan impak yang berteraskan aspirasi “Membina & Membela”. Delegasi turut diberikan pendedahan mengenai aspirasi JCORP 4.0, yang menyasarkan JCORP menjadi sebuah “Leading Investment & Impact Building Institution” menjelang tahun 2030. Lebih signifikan, transformasi JCORP 4.0 diperkukuh melalui pendekatan AI-First Maturity, yang meletakkan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) sebagai pemangkin strategik dalam meningkatkan produktiviti, mempercepat proses membuat keputusan serta mencipta nilai dan impak baharu kepada organisasi.
Antara perkongsian utama yang mendapat perhatian ialah Projek IRIS, yang berperanan sebagai delivery engine kepada JCORP 4.0 dalam usaha menjadikan JCORP sebuah AI-first investment & impact institution menjelang tahun 2027. Transformasi ini dilaksanakan berasaskan 6-P Transformation Framework yang merangkumi Philosophy, Policy, Process, Platform, People dan Performance. Pendekatan menyeluruh ini bukan sahaja memberikan perhatian kepada teknologi, data dan aplikasi, malah merangkumi hala tuju organisasi, tadbir urus dan pengurusan risiko, penambahbaikan proses kerja, kerjasama manusia dengan AI, pembangunan bakat dan budaya organisasi serta pengukuran nilai dan impak melalui konsep AI Dividend. Pelaksanaannya secara berfasa dan dipantau melalui struktur tadbir urus yang jelas turut memberikan perspektif penting mengenai keperluan mengurus transformasi secara sistematik, berdisiplin dan berorientasikan hasil.
Secara keseluruhannya, lawatan penanda aras ini memberikan input dan perspektif strategik yang bernilai kepada KEJORA dalam memperkukuh pelaksanaan agenda KEJORA 2.0. Pengalaman transformasi JCORP menunjukkan bahawa kejayaan sesebuah transformasi bukan sekadar bergantung kepada penerapan teknologi, tetapi memerlukan keselarasan antara strategi, tadbir urus, proses, teknologi, manusia dan pengukuran prestasi.
Diharapkan perkongsian dan amalan terbaik yang diperoleh melalui lawatan ini dapat menjadi pemangkin kepada KEJORA untuk terus memperkemas proses kerja, membudayakan inovasi, memperkukuh keupayaan warga kerja serta meneroka pemanfaatan AI secara strategik dan bertanggungjawab, seterusnya meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan dan memperluas impak pembangunan kepada masyarakat serta wilayah KEJORA.