PROGRAM BACAAN YASSIN DAN TAHLIL SERTA CERAMAH PENGUKUHAN INTEGRITI BIL. 4 TAHUN 2026 SEMPENA SAMBUTAN HARI KEMERDEKAAN DAN MAULIDUR RASUL
Bandar Penawar, 21 Ogos – Dalam usaha memperkukuh penghayatan nilai integriti dan amanah dalam kalangan warga kerja, telah berlangsung Program Bacaan Yassin dan Tahlil serta Ceramah Pengukuhan Integriti Bil. 4 Tahun 2026 di Bilik Taklimat KEJORA.
Program dimulakan dengan bacaan Yassin dan Tahlil dan diteruskan dengan sesi ceramah bertajuk “Jiwa Merdeka, Amanah Terpelihara: Meneladani Integriti Rasulullah SAW dalam Memperkasa Organisasi” yang disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Saiful Syahir bin Mohamad Sopah, Pegawai Hal Ehwal Islam, Unit Integriti, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor .
Ceramah yang penuh pengisian ini menekankan kepentingan menghayati konsep “Jiwa Merdeka” berteraskan keteladanan Rasulullah SAW, di samping memperkukuh budaya integriti dalam kalangan warga kerja. Pengisian turut menyentuh kepentingan membentuk jiwa yang bebas daripada unsur negatif serta meningkatkan kesedaran terhadap nilai amanah, tanggungjawab dan etika dalam pelaksanaan tugas serta penyampaian perkhidmatan.
Semoga penghayatan sempena Bulan Kebangsaan dan Maulidur Rasul ini menjadi wadah dalam membentuk warga kerja KEJORA yang lebih berintegriti, beramanah dan berakhlak mulia, seterusnya memperkukuh jati diri serta budaya kerja yang positif demi kemajuan organisasi dan kesejahteraan masyarakat.
“Jiwa Merdeka bukan sekadar bebas daripada penjajahan, tetapi bebas daripada segala bentuk kelemahan diri, ketidakjujuran dan perlakuan yang menjejaskan amanah serta integriti.”
Salam Kemerdekaan & Salam Maulidur Rasul 1448H.




















