header-inner-1
LAYER-HEADER-INNNERLAYER-HEADER-INNNER
header-inner-3
header-inner-4
header-inner-5
header-inner-6
header-inner-7

MEMPERKASA USAHAWAN, MEMPERLUAS JARINGAN PEMBEKAL ANTARABANGSA

Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) melalui Bahagian Pembangunan Ekonomi dengan kerjasama TEKUN Nasional telah berjaya menganjurkan Kursus Jom Borong di China Tahun 2026 pada 9 hingga 10 September 2026 bertempat di New York Hotel, Johor Bahru. Kursus selama dua hari ini menghimpunkan usahawan KEJORA dan TEKUN Nasional bagi meningkatkan pengetahuan serta kemahiran mendapatkan sumber barangan secara terus dari China.
Sepanjang kursus berlangsung, para peserta diberi pendedahan mengenai penggunaan platform 1688 dan aplikasi MyWAU, teknik carian produk, pemilihan serta komunikasi dengan pembekal, kaedah pembelian dan pembayaran serta pengurusan penghantaran dari China ke Malaysia. Pengisian ini bertujuan membantu usahawan membuat keputusan pembelian yang lebih bijak, mengoptimumkan kos bekalan dan meningkatkan daya saing perniagaan.
Majlis ini turut dihadiri oleh YBrs. Puan Hajah Haslinda binti Abu Bakar, Pengurus Bahagian Pembangunan Ekonomi KEJORA; YBrs. Encik Mohd Shah bin Mohd Ariff, Pengurus TEKUN Negeri Johor; serta barisan pengurusan KEJORA dan TEKUN Nasional. Kolaborasi ini mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh keupayaan usahawan meneroka peluang perniagaan melalui akses kepada rangkaian pembekal antarabangsa.
KEJORA berharap ilmu yang diperoleh dapat diaplikasikan oleh para peserta untuk mempelbagaikan produk, memperluas jaringan pembekal serta mengurus pembelian dan penghantaran dengan lebih cekap. Usaha ini diharap dapat menyokong pertumbuhan perniagaan yang mampan serta meningkatkan pendapatan usahawan luar bandar.