header-inner-1
LAYER-HEADER-INNNERLAYER-HEADER-INNNER
header-inner-3
header-inner-4
header-inner-5
header-inner-6
header-inner-7
PEMANTAPAN 3M1J | DARI SATU PERKATAAN, BERMULA SEBUAH MASA HADAPAN
Program Pemantapan 3M1J (Membaca, Menulis, Mengira dan Jawi) Wilayah KEJORA Tahun 2026 melabuhkan tirai dengan menghimpunkan 100 orang murid kelas pemulihan pembelajaran sekolah rendah di Wilayah KEJORA, dengan sokongan 43 orang guru pengiring serta 7 orang fasilitator daripada Pejabat Pendidikan Daerah Kota Tinggi, Kulai dan Kluang. Sepanjang program, murid mengikuti pendekatan pembelajaran santai dan interaktif menerusi Kembara Dam Pintar 3M1J, aktiviti stesen dan pengukuhan kemahiran, bagi membantu membina keyakinan mereka dalam proses pembelajaran.
Majlis Perasmian Penutup yang disempurnakan oleh YBrs. Encik Mohd Gadaffie bin Abd Aziz, Pengurus Besar KEJORA. Dalam ucapannya, Pengurus Besar KEJORA menitipkan satu pesanan yang cukup dekat dengan semangat program ini iaitu “Walaupun saya belum pandai hari ini, saya boleh menjadi lebih baik esok.” Beliau menyambung “Pendidikan bukan perlumbaan untuk menentukan siapa yang sampai dahulu. Pendidikan ialah perjalanan untuk memastikan setiap anak diberikan peluang untuk sampai ke destinasinya.” Beliau menegaskan bahawa kejayaan sebenar 3M1J bukan sekadar pada hadiah atau pencapaian dalam sehari, tetapi apabila setiap anak pulang dengan keyakinan bahawa mereka mampu belajar, mampu mencuba dan mampu menjadi lebih baik. Turut hadir pada majlis perasmian penutup adalah YBrs. Puan Maizathul Sazila Binti Othman, Penolong Pengarah Sektor pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Negeri Johor selaku wakil rasmi Pengarah Pendidikan Negeri Johor, YBrs. Puan Marlina binti Amir, Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) KEJORA.
Selaras dengan aspirasi KEJORA 2.0, pembangunan bukan hanya mengenai jalan, bangunan dan kemudahan, tetapi turut merangkumi usaha membina manusia dengan membina ekosistem. Program 3M1J mempertemukan murid, guru, sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah, agensi dan rakan strategik dalam satu ekosistem pembangunan modal insan yang inklusif, khususnya bagi memberi ruang, perhatian dan peluang kepada murid yang memerlukan sokongan pembelajaran. Ekosistem inilah yang menghubungkan manusia, ilmu, kepakaran dan peluang serta membudayakan pembelajaran sepanjang hayat.
KEJORA merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Pejabat Pendidikan Daerah Kota Tinggi, Pejabat Pendidikan Daerah Kluang dan Pejabat Pendidikan Daerah Kulai, selain para guru, fasilitator serta semua pihak yang bersama-sama menjayakan program ini.