KEJORA JADI TITIK MULA LAWATAN KERJA, PACU EKONOMI LUAR BANDAR JOHOR
KEJORA menjadi lokasi pertama dalam rangka Lawatan Kerja YB Tuan Haji Md Israk bin Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor bersama YB Tuan Sahrihan bin Jani, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor ke Daerah Kota Tinggi.
Lawatan ini menjadi platform perkongsian dan penyelarasan strategik berkaitan pembangunan sektor pelaburan, pelancongan, modal insan dan pertanian, selain meneliti potensi serta inisiatif yang boleh digerakkan bagi menyokong Pelan Transformasi Ekonomi Negeri Johor (JETP), khususnya dalam memperkukuh pembangunan ekonomi luar bandar.
Dalam sesi tersebut, YB EXCO menyeru agar KEJORA terus mempergiat usaha secara lebih jitu dalam memacu ekonomi luar bandar, antaranya melalui pemerkasaan sektor pertanian, peningkatan keupayaan usahawan serta penciptaan lebih banyak peluang ekonomi yang mampu memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.
YB EXCO turut menekankan kepentingan setiap kejayaan, pencapaian dan impak pembangunan yang dilaksanakan untuk dihebahkan secara lebih aktif melalui platform media sosial, agar masyarakat bukan sahaja mengetahui usaha yang dilaksanakan, malah dapat memahami manfaat dan perubahan yang dibawa kepada komuniti.
Dalam ucapan aluan, Pengurus Besar menekankan bahawa hasrat KEJORA adalah untuk menjadi penghubung strategik yang menterjemahkan peluang dan aspirasi JTEP kepada pembangunan ekonomi luar bandar dengan menghubungkan potensi tanah, pelancongan, pelaburan, industri, usahawan dan komuniti, seterusnya mencipta nilai ekonomi yang mampan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Bagi KEJORA, pembangunan bukan sekadar tentang melaksanakan program atau menyiapkan projek. Lebih penting, setiap usaha perlu mencipta nilai, membuka peluang dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat luar bandar.
Selaras dengan aspirasi KEJORA 2.0, KEJORA akan terus memperkukuh peranan sebagai pembina ekosistem pembangunan dengan menghubungkan kerajaan, industri, usahawan dan komuniti, supaya potensi ekonomi luar bandar dapat diterjemahkan kepada peluang, nilai dan manfaat yang mampan.
Ketibaan YB EXCO dan delegasi telah disambut oleh YBrs. Encik Mohd Gadaffie bin Abd Aziz, Pengurus Besar KEJORA bersama barisan pengurusan KEJORA.
Turut hadir dalam lawatan berkenaan ialah wakil daripada Pejabat Daerah Kota Tinggi, BPEN Johor, MARDI Johor serta agensi-agensi berkaitan.

































