KLINIK MOTOCROSS 2026 | BAKAT DIASAH, DISIPLIN DIBENTUK!
Seramai 20 belia Wilayah KEJORA berpeluang meneroka dunia sukan bermotor secara lebih selamat, berdisiplin dan profesional menerusi Klinik Motocross 2026, sempena Program Tenggara Outdoor Challenge 2026 yang berlangsung di Litar Motocross, Stadium Bandar Tenggara pada 3 Oktober yang lalu.
Program anjuran bersama Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA), Parlimen Tenggara, DUN Panti dan Kelab Sukan Bermotor (DTSI) ini bukan sekadar memberi pengalaman menunggang, malah menjadi platform pembangunan belia melalui pendedahan kepada aspek keselamatan, kemahiran teknikal dan disiplin dalam sukan bermotor.
Peserta diberikan pendedahan mengenai aspek keselamatan, peraturan perlumbaan, pelesenan, perlindungan insurans serta asas teknikal jentera oleh tenaga pengajar yang berkelayakan.
Peserta seterusnya menjalani latihan secara langsung di litar meliputi teknik pengendalian jentera, kawalan pergerakan dan tindak balas fizikal di bawah pemantauan jurulatih bagi memastikan setiap latihan dilaksanakan dengan selamat dan terkawal.
Program diakhiri dengan Majlis Penyampaian Sijil sebagai pengiktirafan kepada semua peserta yang berjaya menamatkan latihan.
Melalui inisiatif seperti ini, KEJORA terus membuka ruang kepada golongan belia untuk meneroka potensi, membina keyakinan dan mengembangkan bakat dalam aktiviti sukan dan rekreasi secara positif.
Daripada minat kepada kemahiran. Daripada kemahiran kepada disiplin. Daripada disiplin, lahir potensi belia yang mampu pergi lebih jauh.
Ayuh belia Wilayah KEJORA, keluar mencuba, bina kemahiran dan buktikan potensi anda!
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua rakan strategik, jurulatih, urus setia serta pihak yang bersama-sama menjayakan Klinik Motocross 2026 demi pembangunan belia Wilayah KEJORA.







































