DARI KOLAM UDANG KE PELUANG EKONOMI BAHARU!
Siapa sangka, di sebalik kolam ternakan udang dan teknologi pembenihan tiram, tersimpan potensi besar untuk memperkukuh industri akuakultur, membangunkan kepakaran tempatan dan membuka peluang ekonomi baharu di Wilayah KEJORA!
Bagi meneroka potensi ini, pengurusan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) yang diketuai oleh YBrs. Encik Mohd Gadaffie bin Abd Aziz, Pengurus Besar KEJORA bersama Kejora Agro Sdn. Bhd. (KASB) telah mengadakan lawatan kerja ke YHL Foods Sdn. Bhd. (YHL) di Lembah Makanan Bio Desaru.
Lawatan ini memberi tumpuan kepada penerokaan teknologi pembenihan, bioteknologi makanan, ternakan udang, pengembangan tiram serta pembangunan rantaian nilai agro-makanan. Delegasi turut meninjau operasi kolam ternakan udang dan makmal pembenihan bagi memahami aplikasi teknologi dalam meningkatkan produktiviti industri.
Menariknya, YHL turut berkongsi kepakaran dalam pendekatan Integrated Multi-Trophic Aquaculture (IMTA), iaitu sistem akuakultur bersepadu yang mengintegrasikan pelbagai komponen ekosistem bagi mengoptimumkan penggunaan sumber, mengurangkan sisa dan menyokong pengeluaran makanan secara mampan.
PERKONGSIAN KEPAKARAN, PEMINDAHAN TEKNOLOGI
Pertemuan ini turut membuka ruang penerokaan kerjasama perniagaan antara KEJORA, KASB dan YHL, khususnya dalam aspek pemindahan teknologi, pembangunan kepakaran teknikal serta potensi pembangunan industri akuakultur dan Pusat Akua Pelancongan.
Inisiatif ini berpotensi menghubungkan aktiviti pembenihan, penternakan, pemprosesan dan pemasaran dengan pendidikan serta pelancongan berasaskan akuakultur, sekali gus memperluas peluang penyertaan usahawan dan komuniti setempat.
KEJORA 2.0: MEMBINA EKOSISTEM, MENCIPTA NILAI
Selaras dengan aspirasi KEJORA 2.0 sebagai Institusi Berfikir, Platform Kolaborasi dan Pembina Ekosistem, penerokaan ini mencerminkan pendekatan pembangunan yang tidak hanya bergantung kepada sumber fizikal, tetapi turut memanfaatkan ilmu, teknologi dan kerjasama industri bagi meningkatkan daya saing ekonomi luar bandar.
Dalam KEJORA 2.0, pembangunan bukan sekadar tentang projek yang dilaksanakan atau produk yang dihasilkan, tetapi bagaimana ilmu, teknologi dan kepakaran dapat digembleng untuk membuka peluang ekonomi serta mencipta nilai yang berkekalan kepada rakyat.
Daripada perkongsian ilmu kepada penguasaan teknologi, daripada kerjasama strategik kepada pertumbuhan industri, KEJORA terus melangkah ke hadapan membina ekosistem akuakultur yang berdaya saing, mampan dan mampu menjadi pemangkin ekonomi baharu Wilayah KEJORA serta menyumbang kepada agenda keterjaminan makanan negara.


































