Pada hari ini, 12 Mac 2023, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri & Menteri Kemajuan Desa & Wilayah (KKDW) telah mengadakan lawatan kerja ke KEJORA.
Sesi lawatan kerja ini dimulakan dengan taklimat pembangunan KEJORA oleh Pengurus Besar KEJORA, Dato’ Hj. Mohd Rusdi bin Mohd Darus kepada semua deligasi. Taklimat ini merangkumi keseluruhan pencapaian KEJORA, fungsi, visi, misi serta hala tuju KEJORA.
Di dalam ucapan balas, YAB Dato’ Sri Dr Ahmad Zahid bin Hamidi mengatakan keterujaan untuk sampai di KEJORA. Beliau menyatakan bahawa, pembangunan yang telah dibangunkan oleh KEJORA selama lebih 50 tahun adalah satu pencapaian yang terbaik dan ianya perlu diperluaskan ke keseluruhan Daerah Kota Tinggi dan Kluang. Beliau berharap, agar diadakan satu bengkel khas bagi memperincikan perkara ini. Selain itu juga, KEJORA dilihat telah mula mengorak langkah ke hadapan dengan menyelesaikan isu permasalahan kutipan sampah di luar bandar.
Dalam pada itu, YAB Dato’ Seri juga menegaskan bahawa perlunya ada Pusat Pengajian KEJORA yang boleh dibuat dan dibina mungkin bersama pihak PETRONAS yang telah diberikan mandat dalam pembangunan pembelajaran TVET. Segala aspek merangkumi, pembangunan pelancongan, pertanian dan usahawan perlu kepada perancangan jangka panjang demi merealisasikan pembangunan tekno-usahawan di luar bandar.
Di dalam rangka lawatan ini juga, YAB Dato’ Seri Timbalan Perdana Menteri dan Menteri KKDW menyampaikan sumbangan kepada 9 penerima sumbangan yang merangkumi Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), Program Peningkatan Pendapatan (PPP) dan Program Transformasi Kualiti Produk (PTKP). Sebelum itu, telah diadakan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman di antara PERTUBUHAN RAKAN AKTIF PARLIMEN PENGERANG bersama Pejabat Kesihatan Daerah dan ASIA COLLEGE OF EXERCISE AND SPORTS MEDICINE.
Turut serta dalam lawatan kerja ini adalah Menteri Besar Johor, YAB Datuk Onn Hafiz bin Ghazi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang Dan Reformasi Institusi) YB Dato’ Sri Azalina binti Othman, Timbalan Menteri Kemajuan Desa & Wilayah, YB Datuk Hajah Rubiah binti Haji Wang, Setiausaha Kerajaan Johor, YB. Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Bin Rohani, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KKDW, Ybhg. Datuk Che Murad Sayang bin Ramjan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KKDW, Tuan Mas Rizal bin Hilmi, Pegawai Daerah Kota Tinggi, Pegawai Daerah Kluang, serta tetamu jemputan yang lain.
Terima kasih Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid bin Hamidi atas kesudian mengadakan lawatan kerja ke KEJORA.