KEJORA PERKASA PERTANIAN, PERKUKUH EKONOMI DUN PANTI
Majlis Penyampaian Surat Tawaran Penyewaan Tanah Pertanian KEJORA telah disempurnakan oleh YB Hahasrin bin Hashim, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panti, dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Semerah Padi, Kampung Lukut, Kota Tinggi pada 10 Februari yang lalu.
Penyampaian ini melibatkan 10 peserta terawal yang telah memohon sewaan tanah Buku Hijau, sebagai usaha memperkasa sektor pertanian dan meningkatkan sumber pendapatan keluarga serta masyarakat setempat.
Inisiatif penyewaan tanah pertanian ini merupakan komitmen berterusan KEJORA dalam membuka peluang kepada komuniti untuk mengusahakan tanah secara terancang dan produktif. Diharapkan para peserta yang menerima surat tawaran ini dapat memanfaatkan peluang yang diberikan dengan sebaiknya serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan keterjaminan makanan di kawasan setempat.
Selain itu juga, bersempena dengan kehadiran Bulan Ramadan 1447H, majlis turut diserikan dengan penyampaian kurma serta inisiatif Ihya’ Ramadan sebagai tanda keprihatinan dan sokongan kepada masyarakat. Semoga usaha murni ini membawa keberkatan dan memperkukuh ukhuwah antara KEJORA dan komuniti DUN Panti.































