MEMPERKUKUH KERJASAMA, MEMACU PEMBANGUNAN DAERAH KLUANG
Pengurus Besar KEJORA, YBrs. Encik Mohd Gadaffie bin Abd Aziz telah menerima Kunjungan Hormat dari Pegawai Daerah Kluang iaitu YBhg. Puan Hajah Azurawati binti Wahid serta deligasi ke Ibu Pejabat KEJORA. Pertemuan ini bukan sekadar sesi rasmi, malah menjadi ruang yang baik untuk mengeratkan hubungan kerjasama serta berbincang hala tuju pembangunan yang lebih berfokus demi manfaat komuniti di Daerah Kluang.
Dalam perbincangan tersebut, Pegawai Daerah Kluang turut dimaklumkan bahawa KEJORA memperuntukkan sebanyak RM3 juta bagi pembangunan di Daerah Kluang, khusus untuk projek-projek fizikal. Manakala untuk program bukan fizikal, pelaksanaannya akan dibuat berdasarkan perancangan dan keutamaan yang telah disusun oleh KEJORA dari semasa ke semasa.
Pada masa yang sama, Puan Pegawai Daerah turut menyuarakan harapan agar pihak KEJORA dapat memberi perhatian kepada beberapa projek penting di daerah ini, terutamanya melibatkan PAMS, penambahbaikan infrastruktur, serta pembangunan usahawan. Fokus ini dilihat mampu memberi impak yang lebih menyeluruh dan terus dirasai oleh masyarakat setempat.
Menariknya, delegasi kunjungan hormat ini turut dibawa melawat ke Kilang IKS Bandar Mas bagi melihat lebih dekat operasi serta perkembangan usahawan bimbingan KEJORA. Lawatan ini diharapkan dapat membuka lebih banyak peluang kerjasama dan menjadi pemangkin kepada usaha memperkasakan ekonomi serta pembangunan komuniti di Daerah Kluang.
KEJORA komited untuk terus memperkukuh kerjasama strategik bersama pihak pentadbiran Daerah Kluang dalam merealisasikan pembangunan yang mampan, inklusif dan berimpak tinggi untuk komuniti setempat.








































