header-inner-1
LAYER-HEADER-INNNERLAYER-HEADER-INNNER
header-inner-3
header-inner-4
header-inner-5
header-inner-6
header-inner-7
MEMPERKASA USAHAWAN HALAL, MEMACU EKOSISTEM EKONOMI LUAR BANDAR
Dalam usaha memperkukuh pembangunan industri halal serta merancakkan ekosistem ekonomi luar bandar, Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) melalui Bahagian Pembangunan Ekonomi, Usahawan & Tani dengan kerjasama Johor Toyyiban Laboratories Sdn. Bhd. (JTLab) telah berjaya menganjurkan Kursus Kesedaran Halal Tahun 2026 (Siri 1) pada 22 April 2026 bertempat di Hotel Desaru Penawar. Penganjuran ini bukan sahaja memfokuskan aspek pensijilan halal, malah menjadi platform strategik dalam membina rantaian nilai ekonomi setempat yang lebih mampan, inklusif dan berdaya saing.
Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif strategik KEJORA dalam memperkasa usahawan tempatan agar mampu bersaing dalam industri halal yang semakin berkembang pesat. Selaras dengan Pelan Strategik KEJORA 2026–2030, pembangunan industri halal digerakkan sebagai pemangkin kepada pengukuhan ekonomi luar bandar melalui peningkatan kapasiti usahawan, penghasilan produk berkualiti serta pengukuhan jaringan pasaran. Pendekatan ini turut menyokong pembinaan ekosistem ekonomi yang menyeluruh, melibatkan pengeluaran, pemprosesan, pensijilan dan pemasaran produk halal tempatan.
Seramai 25 orang usahawan bimbingan KEJORA telah menyertai kursus ini sebagai usaha meningkatkan kefahaman berkaitan kepentingan pematuhan halal, amalan kebersihan dan keselamatan makanan serta tanggungjawab pengurusan dalam mendapatkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM). Peserta turut didedahkan kepada prinsip Syariah, konsep Toyyiban serta aspek perundangan berkaitan pematuhan standard halal, termasuk panduan daripada Jabatan Agama Islam Johor. Pendedahan ini secara tidak langsung memperkukuh keupayaan usahawan dalam menyumbang kepada pembangunan ekonomi luar bandar yang lebih tersusun dan berintegriti.
Program ini juga membuka peluang kepada usahawan untuk melangkah ke tahap seterusnya dalam pensijilan halal, di mana seramai 10 orang peserta terbaik akan dipilih untuk menerima Geran Pensijilan Halal Kotej. Inisiatif ini bertujuan mempercepatkan pertumbuhan perniagaan serta memperluas penglibatan usahawan dalam rantaian industri halal. Ucapan aluan telah disempurnakan oleh Puan Marlina binti Amir, Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) KEJORA, dengan kehadiran barisan pengurusan KEJORA serta penceramah jemputan daripada JAIJ dan JTLab. Penganjuran kursus ini mencerminkan komitmen berterusan KEJORA dalam membangunkan usahawan luar bandar yang berdaya tahan, kompetitif serta mampu memacu ekosistem ekonomi tempatan ke tahap yang lebih tinggi.