AURANITA 2026: PROGRAM PEMERKASAAN WANITA WILAYAH KEJORA PERKUKUH SRIKANDI KOMUNITI
KEJORA komited untuk memastikan Program Pemerkasaan Wanita MADANI Wilayah KEJORA tidak bersifat one-off, sebaliknya menjadi sebahagian daripada ekosistem pembangunan wanita yang berterusan melalui pelaksanaan Program Pemerkasaan Wanita MADANI Wilayah KEJORA 2026 yang telah berlangsung di Dewan KEJORA, Bandar Penawar dengan menghimpunkan penyertaan wanita daripada seluruh Wilayah KEJORA melibatkan usahawan wanita, komuniti serta agensi strategik. Program ini dianjurkan sebagai platform pembangunan kapasiti wanita luar bandar selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI menerusi tema “Memartabatkan Wanita, Memperkukuh Negara” yang menekankan pembangunan insan, kesejahteraan komuniti dan pengukuhan ekonomi wanita.
Dengan kehadiran hampir 350 wanita seluruh Wilayah KEJORA, majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB Datuk Hajah Rubiah binti Haji Wang, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah yang menzahirkan penghargaan terhadap komitmen KEJORA dalam memperkasa wanita luar bandar secara inklusif dan berimpak tinggi. Beliau turut menegaskan bahawa wanita merupakan tonggak pembangunan keluarga, komuniti dan negara serta perlu terus diperkasa melalui akses kepada ilmu, kemahiran, teknologi digital dan peluang ekonomi yang lebih luas. Turut hadir di dalam majlis perasmian adalah YB Tuan Aznan bin Tamin, ADUN Tanjung Surat selaku wakil rasmi YAB Menteri Besar Johor, YB Puan Fauziah binti Misri, ADUN Penawar, YBrs. Encik Mohd Gadaffie bin Abd Aziz, Pengurus Besar KEJORA serta wakil-wakil agensi persekutuan dan negeri.
Pelbagai pengisian bermanfaat telah dilaksanakan sepanjang program termasuk sesi bual bicara bertajuk “Srikandi Keluarga: Minda Sihat, Wanita Hebat Pemangkin Negara” bersama YBhg. Dato Dr Haji Mohd Fadzilah Kamsah, Pakar Motivasi dan YBhg. Puan Masitah binti Afandy, Ikon Wanita Muda Johor , slot pembangunan imej dan personaliti bersama Siti Mizalwa binti Idris, Pengarah Urusan WOW MISSION Sdn Bhd, saringan kesihatan wanita serta pameran dari 24 agensi jaringan strategik dan usahawan. Pengisian ini bertujuan meningkatkan keyakinan diri, kesejahteraan mental dan potensi kepimpinan wanita agar lebih berdaya tahan serta mampu menjadi agen perubahan dalam komuniti masing-masing.
Program ini turut membuka ruang jaringan strategik antara peserta dan agensi seperti TEKUN Nasional, MyIPO dan LPPKN dalam memperkukuh pembangunan ekonomi wanita luar bandar. Selain itu, penyampaian Pengiktirafan Sijil Halal Malaysia (KOTEJ) kepada usahawan KEJORA serta lantikan operator Program Pemerkasaan Ekonomi Baharu (Ternakan Burung Walit) menjadi simbol sokongan berterusan KEJORA dalam memperluas peluang ekonomi komuniti secara mampan dan berimpak jangka panjang.



























































































