header-inner-1
LAYER-HEADER-INNNERLAYER-HEADER-INNNER
header-inner-3
header-inner-4
header-inner-5
header-inner-6
header-inner-7
DARI DOA RAMADAN KE SENYUMAN SYAWAL: RUMAH BAHARU BUAT 3 KELUARGA
Ramadan 1447H membawa sinar kebahagiaan kepada tiga (3) keluarga dari Kampung Lukut, Kampung Temenin dan Kampung Semanggar Dalam apabila menerima rumah impian masing-masing menerusi Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS).
Majlis penyerahan replika kunci rumah telah disempurnakan oleh YB Tuan Hahasrin bin Hashim, ADUN Kawasan Panti bersama YBrs. Puan Marlina binti Amir, Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) KEJORA. Penyerahan ini menjadi simbol komitmen berterusan pihak kerajaan dan KEJORA dalam memastikan kesejahteraan serta kebajikan rakyat sentiasa diberi keutamaan.
Encik Razif Iqmal bin R. Karim dari Kampung Lukut merupakan penerima pertama bantuan di bawah Program PPRS, dengan kos pembinaan rumah berjumlah RM79,000.00. Kediaman baharu ini diharapkan menjadi titik tolak kepada peningkatan taraf hidup serta pemangkin kepada pembangunan ekonomi keluarga beliau.
Sementara itu, penerima kedua, Encik Ahmad bin Abas dari Kampung Temenin, turut melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada KEJORA atas usaha menyiapkan rumah tersebut. Beliau bertekad untuk menjaga amanah yang diberikan dan memanfaatkan kediaman itu sebaik mungkin demi kesejahteraan keluarganya.
Bagi Puan Siti Eaisah binti Md Sani dari Kampung Semanggar Dalam pula, penyerahan rumah pada bulan Ramadan ini amat bermakna kerana beliau sekeluarga berpeluang menyambut Aidilfitri di rumah baharu yang lebih selesa dan selamat.
Program PPRS merupakan inisiatif kerajaan dalam membantu golongan miskin dan miskin tegar memiliki kediaman yang lebih berkualiti, selesa dan selamat.
Turut memeriahkan majlis, PUSPANITA KEJORA telah menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada ketiga-tiga penerima sebagai tanda keprihatinan serta bagi meringankan beban keperluan asas mereka menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.