DARI TRADISIONAL KE TEKNOLOGI: KEJORA TEROKAI MODEL PERTANIAN MASA HADAPAN
KEJORA telah mengadakan lawatan strategik ke Archisen Pte. Ltd., sebuah syarikat agritech terkemuka di Singapura, bertempat di Hyundai Motor Group Innovation Center Singapore (HMGICS).
Lawatan ini bertujuan memberi pendedahan kepada pendekatan pertanian bandar berteknologi tinggi yang mengintegrasikan automasi, sains tanaman dan sistem pintar dalam meningkatkan kecekapan serta kualiti pengeluaran makanan. Model yang dibangunkan oleh Archisen turut menonjolkan bagaimana ruang terhad di kawasan bandar dapat dimanfaatkan secara optimum melalui pertanian menegak dan persekitaran terkawal.
Selain membuka ruang perkongsian ilmu dalam pembangunan ekosistem agromakanan yang mampan, lawatan ini juga diharapkan dapat merintis pemindahan teknologi serta potensi kerjasama strategik dalam bidang agritech antara Malaysia dan Singapura. KEJORA optimis pendekatan yang dipelajari mampu dijadikan rujukan dalam membangunkan ekosistem agromakanan yang lebih moden, berdaya saing dan mampan di wilayah KEJORA.
KEJORA komited untuk terus meneroka inovasi dan teknologi baharu dalam memperkukuh sektor pertanian sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi wilayah, di samping memastikan kelestarian serta keterjaminan makanan sentiasa terpelihara untuk masa hadapan.

































