PENYERAHAN & TAKLIMAT PENGOPERASIAN MESIN ASHER DI KAMPUNG MAWAI BARU
8 JUN 2022 I RABU I 11.00 PAGI
Pada hari ini, selepas 50 tahun penubuhan KEJORA, satu detik baru telah tercipta apabila KEJORA telah menerima sebuah Mesin Asher A200 Buatan Malaysia dari syarikat Pamarai (M) Sdn Bhd. Mesin pelupusan sampah yang dibangunkan dengan teknologi terkini serta penggunaan tenaga solar sepenuhnya telah diletakkan di Kampung Tersusun Mawai Baru.
Majlis penyerahan pada pagi ini dimulakan dengan penerangan pemasangan dan penggunaan mesin Asher oleh Mr. Pang Swee Lei, Co-Founder Pamarai (M) Sdn Bhd. Di dalam taklimat ringkas yang diberikan, beliau menyatakan bahawa, mesin Asher ini telah dipasang di hampir 12 negara di dunia seperti Filipina, Thailand, China, India, Singapura dan lain-lain lagi.
Manakala Dato’ Hj. Mohd Rusdi bin Mohd Darus, Pengurus Besar KEJORA dalam ucapannya berharap agar mesin Asher yang dibekalkan kepada Kampung Tersusun Mawai Baru ini diuruskan sebaiknya serta diselenggara dan dijaga oleh pihak jawatankuasa kampung. Selain itu juga, beliau berhasrat agar Kampung Tersusun Mawai Baru ini boleh dijadikan contoh kepada kampung-kampung bukan sahaja dalam Wilayah KEJORA tetapi dalam Negeri Johor sebagai Kampung Sejahtera dan kampung pelopor kepada penggunaan mesin Asher.
Turut hadir di dalam majlis ringkas pada pagi ini ialah, YB Muszaidi bin Makmor, ADUN Sedili, Tn. Hj. Zainudin bin Kasri, Peg. Perancang Bandar & Desa, Majlis Daerah Kota Tinggi, En. Daud bin Abd Rahman Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) serta Pengurusan Kanan KEJORA.