KEJORA & KUYPJ JALIN KERJASAMA STRATEGIK, MEMPERKASA EKOSISTEM PEMBANGUNAN MODAL INSAN WILAYAH JOHOR TENGGARA
Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) yang diketuai oleh YBrs. Encik Mohd Gadaffie bin Abd Aziz, Pengurus Besar KEJORA telah menerima Kunjungan Hormat Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Universiti Yayasan Pelajaran Johor (KUYPJ), Tn. Haji Mohd Fahmi bin Salam, bersama delegasi KUYPJ Ibu Pejabat KEJORA pada 6 Julai 2026.
Kunjungan ini bertujuan membincangkan potensi kerjasama strategik antara KUYPJ dan KEJORA, khususnya dalam memperluaskan akses kepada program pendidikan, latihan kemahiran dan pembangunan modal insan yang mampu memberi nilai tambah kepada golongan belia di Wilayah KEJORA.
Selaras dengan aspirasi KEJORA 2.0, perbincangan ini mencerminkan komitmen KEJORA untuk terus berperanan sebagai pembina ekosistem yang mencipta nilai jangka panjang secara adil, bertanggungjawab dan mampan dalam membangunkan Wilayah Johor Tenggara secara holistik. Fokus utama perbincangan adalah meneroka peluang pelaksanaan kursus-kursus berimpak tinggi serta sokongan pembiayaan bagi melahirkan generasi belia yang berkemahiran, berdaya saing dan bersedia memenuhi keperluan ekonomi masa hadapan. Pendekatan ini selaras dengan usaha membina ekosistem pembangunan modal insan yang menghubungkan institusi pendidikan, agensi kerajaan dan industri dalam satu rantaian nilai yang mampan.
Delegasi turut disertai oleh Encik Shahrul Nizar bin Ahmad, Ketua Pegawai Operasi KPYPJ; YBhg. Dr. Hajah Nor Aishah Abd Aziz, Rektor KUYPJ; serta Ruhaizal bin Abu Amin, Ketua Eksekutif Kolej Kemahiran Johor manakala YBrs. Puan Marlina binti Amir, Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan), Puan Suraya Hani binti Sharan, Pengurus Pembanguann Sosial & Pemajuan Desa, Encik Mohd Ashek bin Hassan, Pengurus Pelancongan dan Encik Sheikh Khayulzahri bin A.Raof, Pengurus Perancangan Strategik mewakili KEJORA.
KEJORA berharap kunjungan ini menjadi titik permulaan kepada kerjasama strategik yang lebih erat antara kedua-dua pihak, sekali gus membuka lebih banyak peluang pendidikan, latihan dan pembangunan kerjaya kepada masyarakat, khususnya belia luar bandar. Melalui sinergi yang dibina, diharapkan lebih ramai modal insan berkualiti dapat dilahirkan untuk memacu pertumbuhan ekonomi wilayah, memperkukuh kesejahteraan komuniti serta merealisasikan aspirasi menjadikan Wilayah KEJORA sebagai sebuah ekosistem pembangunan yang progresif, inklusif dan berdaya tahan untuk generasi akan datang.























