KEJORA MEMPERKUKUH KESIAPSIAGAAN DIGITAL MELALUI KURSUS E-INVOICE
KEJORA telah menganjurkan Kursus e-Invois pada 23 hingga 25 Januari bertempat di Sheraton Hotel, Johor Bahru, yang melibatkan seramai 70 orang peserta terdiri daripada kontraktor, usahawan Wilayah KEJORA serta warga kerja KEJORA.
Penganjuran kursus ini mencerminkan komitmen berterusan KEJORA dalam memperkukuh kefahaman serta keupayaan pelaksanaan e-Invois, selaras dengan keperluan semasa dan hala tuju transformasi digital negara.
Kursus ini turut mendapat pengiktirafan daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan melayakkan peserta memperoleh mata Continuous Contractor Development (CCD). Selain pendedahan kepada konsep e-Invois, peserta turut diberikan latihan praktikal berkaitan penggunaan sistem bagi memastikan pelaksanaan yang lebih yakin, teratur dan mematuhi keperluan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) melalui platform MyInvois.
Inisiatif ini selari dengan aspirasi KEJORA 2.0 yang menekankan transformasi digital, kecekapan penyampaian perkhidmatan serta pemerkasaan rakan niaga. KEJORA akan terus komited dalam menyokong ekosistem perniagaan yang lebih telus dan berdaya saing, seiring usaha membangunkan organisasi yang progresif dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.









































