header-inner-1
LAYER-HEADER-INNNERLAYER-HEADER-INNNER
header-inner-3
header-inner-4
header-inner-5
header-inner-6
header-inner-7
KEJORA PERKUKUH HUBUNGAN STRATEGIK JOHOR–SINGAPURA DALAM FSBP 2026
Konsulat Jeneral Republik Singapura di Johor Bahru telah menjemput YBrs. Encik Mohd Gadaffie bin Abd Aziz, Pengurus Besar KEJORA sebagai penceramah dalam program Foreign Service Basic Programme (FSBP) yang berlangsung pada 9 April 2026. Program ini merupakan sebahagian daripada lawatan rasmi pegawai daripada Kementerian Hal Ehwal Luar Singapura ke Johor Bahru yang bertujuan memberikan pendedahan secara langsung terhadap perkembangan semasa negeri Johor serta memperkukuh kefahaman mengenai hubungan dua hala antara Johor dan Singapura.
Melalui sesi berbentuk fireside chat, Pengurus Besar KEJORA telah berkongsi pandangan mengenai keunikan dan kekuatan hubungan erat antara Johor dan Singapura yang telah lama terjalin. Hubungan ini bukan sahaja berasaskan kepentingan ekonomi, malah turut merangkumi aspek sosial dan sejarah yang saling melengkapi. Keakraban ini menjadi asas penting dalam memperkukuh kerjasama strategik serta membuka ruang kepada pelbagai peluang pembangunan bersama yang lebih dinamik pada masa hadapan.
Dalam sesi tersebut, beliau turut mengetengahkan aspirasi dan hala tuju KEJORA 2.0, khususnya peranan organisasi KEJORA sebagai pemegang amanah (trustee) dalam memastikan pembangunan Wilayah Johor Tenggara dilaksanakan secara mampan, inklusif dan berimpak tinggi. Pendekatan ini menekankan kepentingan tadbir urus yang baik serta pelaksanaan inisiatif pembangunan yang memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat luar bandar dan Negeri Johor secara keseluruhan.
Selain itu, beliau juga berkongsi pengalaman sebagai penjawat awam di Malaysia, termasuk nilai, etika dan ciri-ciri yang membentuk perkhidmatan awam yang berintegriti, berdaya saing dan berorientasikan perkhidmatan. Pengalaman beliau sebagai Pengurus Besar KEJORA turut dikongsikan, khususnya dalam memacu transformasi strategik KEJORA dalam menghadapi cabaran dan serta peluang dalam melaksanakan agenda pembangunan wilayah secara holistik dan bersepadu.
Turut dijemput sebagai penceramah adalah Yang Berhormat Datin Paduka Dr. Hajah Suhailizan binti Suliman, Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) serta YBhg. Tuan Haji Natazha bin Hariss, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Johor.
KEJORA berbangga dan amat menghargai kehormatan yang diberikan oleh Kerajaan Republik Singapura melalui jemputan ini, yang mencerminkan pengiktirafan terhadap peranan dan kepakaran KEJORA sebagai Agensi Pembangunan Wilayah di Johor Tenggara serta hubungan kerjasama erat antara Johor dan Singapura.