KURSUS PENDAWAIAN ELEKTRIK: PEMANGKIN TVET, PEMACU KEBOLEHPASARAN BELIA
Selaras agenda pembangunan negeri dan aspirasi Johor Maju, TVET menjadi platform terbaik untuk membuka laluan kerjaya yang lebih jelas kepada golongan belia khususnya belia luar bandar agar mereka tidak tercicir daripada arus pembangunan ekonomi dan teknologi.
Seramai 20 orang belia lepasan SPM dari Wilayah KEJORA telah menyertai Program Modular Pemasangan & Penyelenggaraan Elektrik Satu Fasa yang berlangsung selama 3 bulan bermula 01 Oktober hingga 31 Disember 2025 bertempat di Kolej Kemahiran Johor Cawangan Kluang. Program ini bertujuan membekalkan kemahiran praktikal serta meningkatkan kebolehpasaran belia melalui latihan TVET yang berstruktur, sekali gus membuka peluang kerjaya dan keusahawanan dalam bidang teknikal.
Majlis Penyampaian Sijil Program Kemahiran Belia Luar Bandar bagi Kursus Pendawaian Elektrik Tahun 2025 telah berlangsung dengan jayanya dan disempurnakan oleh YB Tuan Syed Hussein bin Syed Abdullah, ADUN Kawasan Mahkota. Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran Encik Mohd Gadaffie bin Abd Aziz, Pengurus Besar KEJORA, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Pendidikan YPJ, Encik Shahrul Nizar bin Ahmad, Ketua Eksekutif Kolej Kemahiran Johor, serta barisan Pengurusan KEJORA dan Pengurusan KYPJ, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan pelbagai pihak dalam memperkasakan agenda TVET dan memperluas peluang kemahiran untuk belia luar bandar.
KEJORA terus komited memperkasa pembangunan modal insan luar bandar menerusi penganjuran Kursus Elektrik yang selaras dengan Pelan Strategi KEJORA 2021–2025. Inisiatif ini juga seiring dengan hasrat Kerajaan Negeri Johor yang memberi penekanan serius terhadap pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai teras utama dalam melahirkan tenaga kerja mahir, berdaya saing dan menepati keperluan industri semasa seterusnya memastikan belia luar bandar terus mendapat akses kepada latihan kemahiran yang berkualiti, inklusif dan berimpak tinggi.








































