header-inner-1
LAYER-HEADER-INNNERLAYER-HEADER-INNNER
header-inner-3
header-inner-4
header-inner-5
header-inner-6
header-inner-7
MEMACU GREATER DESARU MELALUI PENDEKATAN “SHARE & MOVE TOGETHER”: SINERGI STRATEGIK KEJORA, MAJLIS PERBANDARAN PENGERANG & DESARU COAST
KEJORA bersama Majlis Perbandaran Pengerang (MPP) dan Desaru Coast telah mengadakan Mesyuarat Perancangan Strategik berkaitan Greater Desaru Strategic Action Plan yang memfokuskan kepada pembangunan bersepadu dan mampan di wilayah Desaru. Inisiatif ini merupakan satu pelan hala tuju bersama yang menghimpunkan pelbagai pihak bagi menyelaras keutamaan pembangunan serta mempercepat pertumbuhan ekonomi serantau.
Dalam mesyuarat tersebut, KEJORA pada dasarnya bersetuju untuk memperluaskan skop kerjasama strategik melangkaui sektor pelancongan semata-mata, merangkumi pembangunan infrastruktur, kelestarian serta kesejahteraan komuniti. Pendekatan ini diyakini mampu memberi manfaat menyeluruh kepada semua pemain industri serta masyarakat setempat melalui impak kolektif yang lebih besar. Malah, kerjasama ini juga dapat memastikan agensi, khususnya KEJORA, serta pemain industri tidak lagi bekerja secara “silo”, sebaliknya bergerak secara kolaboratif, terselaras dan saling melengkapi dalam mencapai matlamat bersama.
Bagi memastikan pelaksanaan yang lebih tersusun dan berkesan, satu jawatankuasa khas akan diwujudkan dengan penyertaan wakil daripada setiap pihak terlibat. Struktur tadbir urus bersama ini akan berperanan dalam menyelaras perancangan, memantau pelaksanaan serta memastikan setiap inisiatif bergerak seiring dengan visi bersama.
Selain itu, kerjasama ini turut menekankan pengoptimuman penggunaan aset sedia ada melalui perkongsian sumber, kepakaran dan pembiayaan secara bersama. Pendekatan “share & move together” ini akan membuka peluang baharu untuk meningkatkan potensi serta nilai aset, sekali gus merangsang pembangunan ekonomi yang lebih inklusif dan berdaya tahan.
Sebagai langkah seterusnya, semua pihak bersetuju untuk memuktamadkan dokumen kerjasama strategik yang akan ditandatangani bersama dalam masa terdekat. Komitmen ini mencerminkan kesepakatan kukuh antara pihak berkepentingan dalam merealisasikan visi pembangunan Greater Desaru sebagai destinasi serantau yang unggul.
Harapan KEJORA adalah agar pembangunan Greater Desaru bukan sahaja berjaya di peringkat nasional, malah mampu melangkaui ke persada global sebagai model rujukan dalam pembangunan wilayah yang bersepadu, inklusif dan mampan. Pada masa yang sama, pembangunan ini diharap dapat mengimbangi kemajuan ekonomi dengan pemeliharaan alam sekitar serta kesejahteraan komuniti setempat, sekali gus meletakkan Greater Desaru sebagai simbol kejayaan Malaysia dalam menerajui pembangunan wilayah pintar yang mampan dan berdaya tahan di peringkat global.