MEMBUDAYAKAN PERUBAHAN MELALUI PEMIKIRAN STRATEGIK, INTEGRITI DAN KEPIMPINAN BERWAWASAN
Majlis Perhimpunan Bulanan KKDW bagi bulan Ogos 2026 telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah di Dewan Seri Lestari, KKDW Putrajaya.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa walaupun landskap politik negara sentiasa berubah, kestabilan pentadbiran Kerajaan Persekutuan dan pelaksanaan dasar kepada rakyat mesti diteruskan secara profesional. Penjawat awam perlu memahami hubungan antara politik dan pentadbiran tanpa terlibat dalam politik kepartian, sebaliknya terus melaksanakan amanah dengan berintegriti. Pada masa yang sama, KKDW perlu memberi tumpuan kepada usaha transformasi luar bandar melalui pendekatan berimpak tinggi, termasuk pengoptimuman aset, pembangunan ekonomi desa, pemerkasaan pendidikan awal kanak-kanak, serta penggunaan data dan libat urus yang lebih berkesan dalam membuat keputusan.
Selaras dengan aspirasi KEJORA 2.0, penegasan ini memperlihatkan keperluan untuk beralih daripada pendekatan pembangunan yang hanya berfokus kepada projek fizikal kepada pembinaan ekosistem pembangunan wilayah yang mampan, berdaya saing dan memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat. Blueprint KEJORA 2.0 menjadi pemacu transformasi yang menekankan pengurusan aset secara strategik, pengukuhan kerjasama bersama pemegang taruh, penggunaan data dalam membuat keputusan serta penyampaian perkhidmatan yang lebih berkesan. Pendekatan ini memastikan pembangunan wilayah bukan sahaja menghasilkan nilai ekonomi, malah meningkatkan kualiti hidup masyarakat secara menyeluruh dan berterusan.
Dalam masa yang sama, KEJORA membawakan kelainan dengan membawakan persembahan secara ‘choral speaking’ bertemakan ‘KEJORA 2.0: The Legacy’ yang menonjolkan mesej bahawa perubahan tidak bermula dengan tindakan semata-mata, tetapi dengan keberanian untuk berfikir secara lebih bijaksana, bertindak dengan penuh amanah dan memimpin dengan visi yang jelas.
Turut hadir ke majlis ini ialah YB Datuk Hajah Rubiah binti Haji Wang, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah; Timbalan Ketua Setiausaha KKDW, YBrs. Encik Mohd Gadaffie bin Abd Aziz, Pengurus Besar KEJORA serta barisan pengurusan KEJORA serta anggota KEJORA.

























































