MEMPERKASA PEMATUHAN HALAL, MEMPERKUKUH DAYA SAING USAHAWAN LUAR BANDAR
Dalam usaha memperkukuh pembangunan industri halal dan meningkatkan tahap pematuhan dalam kalangan usahawan, Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) melalui Bahagian Pembangunan Ekonomi, dengan kerjasama Johor Toyyiban Laboratories Sdn. Bhd. (JTLab) telah menganjurkan Kursus dan Latihan Teknikal Halal (Kawalan Bahan Mentah dan Kebersihan Premis) – Kursus Halal Siri 3 Tahun 2026 pada 20 Ogos 2026 bertempat di Hotel Desaru Penawar, Bandar Penawar.
Kursus ini merupakan kesinambungan kepada Kursus Halal Siri 1 dan Siri 2, dengan penekanan lebih mendalam terhadap aspek teknikal pematuhan halal, khususnya kawalan bahan mentah, pengurusan pembekal, penyimpanan, kebersihan premis serta operasi perniagaan.
Pelaksanaan secara berperingkat ini melengkapkan pembangunan kompetensi usahawan, bermula dengan kesedaran dan asas halal (Siri 1), diikuti proses permohonan, dokumentasi dan persediaan audit (Siri 2), dan seterusnya aspek teknikal pelaksanaan pematuhan halal (Siri 3). Pendekatan ini bertujuan meningkatkan kesiapsiagaan usahawan ke arah Pensijilan Halal Malaysia.
Setinggi-tinggi penghargaan kepada para penceramah, Puan Faridatul Farhana binti Misbah, Penolong Pegawai Teknologi Makanan (C7), JAINJ dan Ustaz Saiful bin Paimi, Chief Operating Officer (COO), IGP International Sdn. Bhd. atas perkongsian ilmu dan kepakaran yang diberikan.
Penganjuran kursus ini mencerminkan komitmen berterusan KEJORA bersama JTLab dalam memperkasa ilmu, kemahiran dan kompetensi usahawan, sekali gus memperkukuh ekosistem keusahawanan halal dan meningkatkan daya saing usahawan luar bandar.

































