header-inner-1
LAYER-HEADER-INNNERLAYER-HEADER-INNNER
header-inner-3
header-inner-4
header-inner-5
header-inner-6
header-inner-7
MEMPERKASA USAHAWAN HALAL, MEMACU EKOSISTEM EKONOMI LUAR BANDAR
Dalam usaha memperkukuh pembangunan industri halal serta memperkasa daya saing usahawan luar bandar, Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) melalui Bahagian Pembangunan Ekonomi dengan kerjasama Johor Toyyiban Laboratories Sdn. Bhd. (JTLab) telah berjaya menganjurkan Kursus Kefahaman Bagi Permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (Industri Mikro & Kecil) – Kursus Halal Siri 2 Tahun 2026 pada 24 Jun 2026 bertempat di Hotel Desaru Penawar, Bandar Penawar. Pembukaan kursus ini dimulakan dengan ucapan aluan oleh Puan Hajah Haslinda binti Abu Bakar, Pengurus Bahagian Pembangunan Ekonomi KEJORA.
Program ini memberi tumpuan kepada usahawan premis makanan sebagai kesinambungan kepada Kursus Halal Siri 1 yang telah dilaksanakan sebelum ini dan sebahagian daripada inisiatif strategik KEJORA dalam membangunkan usahawan halal yang lebih berdaya saing selaras dengan aspirasi Ekonomi MADANI. Seramai 30 orang usahawan telah menyertai kursus ini, melebihi sasaran asal yang ditetapkan, sekali gus mencerminkan peningkatan kesedaran dan komitmen usahawan Wilayah KEJORA terhadap kepentingan Pensijilan Halal Malaysia sebagai nilai tambah dalam memperkukuh perniagaan.
Sepanjang kursus berlangsung, peserta telah didedahkan kepada prosedur permohonan Pensijilan Halal Malaysia (SPHM), penyediaan dokumentasi, penggunaan sistem MYeHALAL serta persediaan menghadapi audit halal. Pendedahan ini bertujuan membantu usahawan memahami proses pensijilan secara lebih jelas, terancang dan sistematik, sekali gus meningkatkan tahap pematuhan serta integriti dalam operasi perniagaan.
Penganjuran kursus ini mencerminkan komitmen berterusan KEJORA dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan halal melalui pembangunan kapasiti usahawan, di samping meneruskan pelaksanaan Kursus Teknikal Halal (Sertu) Siri 3 sebagai usaha memperkasakan lagi pematuhan dan integriti halal dalam kalangan usahawan Wilayah KEJORA.