MENELUSURI MODEL PEMBANGUNAN PINTAR: KEJORA MENIMBA ILMU DI DAERAH PINTAR PUNGGOL DIGITAL DISTRICT
Delegasi KEJORA telah mengadakan lawatan strategik ke JTC Corporation, Singapura yang berlangsung di Punggol Digital District, sebuah daerah pintar yang menjadi contoh pembangunan industri dan ekonomi digital bersepadu. Lawatan ini memberi pendedahan langsung kepada model pembangunan yang menggabungkan perancangan tanah, strategi industri serta pembinaan ekosistem dalam satu pendekatan yang terselaras.
Sepanjang lawatan, delegasi diberi peluang memahami bagaimana JTC membangunkan ekosistem ekonomi yang menghubungkan industri, teknologi, bakat, penyelidikan dan kelestarian. Pendekatan ini bukan sahaja menumpukan kepada penyediaan infrastruktur fizikal, malah menekankan pembinaan ekosistem yang mampu menjana inovasi berterusan dan nilai jangka panjang kepada pembangunan wilayah.
Pengalaman ini amat signifikan buat KEJORA dalam usaha memperkukuh peranan sebagai institusi pembangunan wilayah yang lebih strategik dan berimpak tinggi. Antara fokus pembelajaran termasuk pembangunan berasaskan ekosistem, strategi guna tanah jangka panjang, integrasi industri dan akademia serta perancangan daerah pintar yang berorientasikan masa hadapan.
Diharapkan hasil lawatan ini dapat menjadi pemangkin kepada KEJORA dalam merangka pendekatan pembangunan yang lebih holistik, berdaya saing dan mampan. Semoga segala ilmu dan amalan terbaik yang diperoleh dapat diterjemahkan ke dalam pelaksanaan projek dan inisiatif pembangunan wilayah demi kesejahteraan komuniti serta pertumbuhan ekonomi yang berterusan.









































