MESYUARAT LEMBAGA PENGARAH KEJORA BIL. 1 TAHUN 2026: MEMACU PEMBANGUNAN JOHOR TENGGARA, MEMPERKASA KESEJAHTERAAN RAKYAT
Mesyuarat Lembaga Pengarah Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) Bil. 1 Tahun 2026 telah berlangsung di Johor Corporation @ JCorp Centre, Kuala Lumpur dan dipengerusikan oleh Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, selaku Pengerusi KEJORA.
Dalam ucapan aluannya, YAB Dato’ Menteri Besar Johor menegaskan kepentingan setiap perancangan dan inisiatif KEJORA dilaksanakan berlandaskan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang jelas, boleh diukur serta dipantau secara berterusan. Pendekatan ini penting bagi memastikan setiap agenda yang dirancang kekal pada landasan yang tepat dan diterjemahkan kepada hasil serta impak yang benar-benar dapat dirasai oleh rakyat dan semua pemegang taruh.
Penekanan tersebut turut mencerminkan keperluan supaya pembangunan tidak hanya dinilai berdasarkan jumlah projek yang dilaksanakan, tetapi sejauh mana pelaksanaannya mampu meningkatkan taraf hidup, membuka peluang ekonomi, memperkukuh keupayaan masyarakat serta mewujudkan persekitaran luar bandar yang lebih berdaya huni, berdaya saing dan mampan.
Sebagai agensi pembangunan wilayah, KEJORA akan terus memperkukuh peranannya dalam merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar melalui pembangunan yang lebih inklusif dan berimpak. Tumpuan akan terus diberikan kepada usaha memperkasa ekonomi setempat, keusahawanan dan sektor pertanian, meningkatkan kemudahan serta infrastruktur, memperkukuh sektor pelancongan, membangunkan modal insan dan seterusnya mewujudkan lebih banyak peluang kepada masyarakat di Wilayah Johor Tenggara.
Usaha ini selari dengan aspirasi Maju Johor 2030 untuk membentuk Johor yang semakin maju, makmur dan sejahtera, dengan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara lebih menyeluruh oleh rakyat termasuk masyarakat luar bandar. Dalam konteks ini, Wilayah KEJORA mempunyai potensi besar untuk terus berkembang sebagai wilayah yang bukan sahaja membangun dari sudut fizikal, malah kukuh dari segi ekonomi, sosial dan kesejahteraan komuniti.
Pembangunan luar bandar bukan sekadar membawa pembangunan kepada rakyat, tetapi membina keupayaan rakyat untuk bersama-sama mencipta masa hadapan yang lebih baik.
Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi KEJORA, YB Senator Dato’ Haji Abdul Halim bin Haji Suleiman; Timbalan Setiausaha Bahagian, Bahagian Kawalan Kewangan Strategik dan Korporat, Kementerian Kewangan, YBrs. Puan Murni Rahayu binti Ahmad Anuar; Pengarah Tanah dan Galian Johor, Yang Berhormat Dato’ Haji Mohammed Shakib bin Haji Ali; Pegawai Daerah Kota Tinggi, YBhg. Tuan Haji Miswan bin Yunus; Pegawai Daerah Kluang, YBhg. Puan Hajah Azurawati binti Wahid; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bioteknologi dan Biodiversiti Negeri Johor (J-Biotech), Yang Berhormat Dato’ Haji Ashari bin Haji Kasnan; ADUN Tanjung Surat, YB Tuan Aznan bin Tamin; ADUN Penawar, YB Puan Fauziah binti Misri; Wakil Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), YBrs. Encik Kamarulariffin bin Ab. Ghani; serta Wakil Kementerian Ekonomi, YBrs. Puan Rosnita binti Hamzah.
Turut hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, YB Tuan Haji Md. Israk bin Abdullah.
KEJORA akan terus memperkukuh sinergi bersama Kerajaan Negeri Johor, KKDW, kementerian, agensi, pihak berkuasa tempatan, sektor swasta dan komuniti bagi memastikan pembangunan Wilayah Johor Tenggara bergerak secara tersusun, mampan dan memberi nilai kepada rakyat.
KEJORA; Memacu Wilayah, Memperkasa Desa, Mensejahterakan Rakyat.


































