OPS SEDUT: MISI KEBERSIHAN, DEMI KOMUNITI SEJAHTERA
Sedili, 20 Jun – Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) dengan kerjasama Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK) telah menganjurkan Pelancaran Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) “OPS SEDUT” yang berlangsung di Dewan Serbaguna Tanjung Sedili.
Program ini melibatkan pelaksanaan kerja-kerja sedutan tangki najis kepada 170 penerima manfaat di Daerah Kota Tinggi sebagai sebahagian daripada inisiatif CSR yang memberi manfaat secara langsung kepada komuniti setempat.
Pelaksanaan program ini bukan sahaja membantu meningkatkan tahap kebersihan persekitaran, malah turut memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan penyelenggaraan sistem kumbahan dan tangki najis yang sempurna. Langkah ini penting bagi mengelakkan pencemaran alam sekitar, masalah bau yang tidak menyenangkan serta risiko kesihatan kepada penduduk.
KEJORA berharap program ini dapat menjadi pemangkin kepada pembudayaan amalan kebersihan dalam kalangan komuniti. Kebersihan bukan sekadar tanggungjawab individu, malah merupakan tanggungjawab bersama dalam mewujudkan persekitaran yang sihat, selesa dan lestari untuk generasi akan datang.
“Kebersihan adalah cerminan keperibadian, manakala persekitaran yang bersih melahirkan masyarakat yang sihat, sejahtera dan berdaya maju.”
KEJORA merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK), KPDN, PDRM, JPJ, Pejabat Kesihatan Daerah Kota Tinggi, JPKK Wilayah KEJORA, para penerima manfaat serta semua pihak yang telah memberikan komitmen, kerjasama dan sokongan dalam menjayakan program ini.
Semoga usaha murni ini terus diperkasakan demi kesejahteraan masyarakat dan kelestarian alam sekitar di Wilayah KEJORA.









































































