PEMANGKIN TRANSFORMASI WILAYAH: SINERGI STRATEGIK KEJORA – JOHOR LAND GROUP
Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) yang diketuai oleh YBrs. Encik Mohd Gadaffie bin Abd Aziz telah mengadakan kunjungan hormat ke Johor Land Group (JLG) dalam usaha memperkukuh jaringan kerjasama strategik antara kedua-dua organisasi.
Delegasi KEJORA telah disambut oleh YBhg. Datuk Sr. Akmal bin Ahmad, Group Managing Director JLG, yang seterusnya menyampaikan taklimat komprehensif berkenaan perancangan serta pembangunan di bawah kendalian JLG. Sesi perbincangan berimpak tinggi ini melibatkan barisan Pengurusan Kanan Johor Land Group dan Pengurusan KEJORA, serta turut disertai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kejora Development Holding Sdn. Bhd. (KDHSB).
Pertemuan strategik ini menjadi platform penting untuk memperhalusi potensi kerjasama dalam pembangunan kawasan perumahan dan industri yang mampan, selari dengan aspirasi pembangunan wilayah yang progresif, berdaya saing dan inklusif. Perbincangan yang berlangsung turut menzahirkan komitmen kedua-dua pihak dalam memperkasa perancangan pembangunan melalui perkongsian kepakaran, pengalaman serta pendekatan strategik yang lebih holistik dan berimpak tinggi kepada komuniti setempat.
Jalinan sinergi ini diyakini mampu menjadi pemangkin kepada inisiatif pembangunan yang lebih dinamik, mampan dan berdaya maju, sekali gus memperkukuh agenda transformasi wilayah Johor Tenggara ke tahap yang lebih cemerlang pada masa hadapan.














