PENAWAR PENGERANG RUN 2016 DAPAT SAMBUTAN

 

 

 

Kota Tinggi – Program larian Penawar Pengerang Run 2016 diadakan bersempena Ekspo Keusahawanan dan Karnival Modal InsanKEJORA atau dikenali XPURA MINDA 2016, mendapat sambutan menggalakkan apabila disertai lebih 783 peserta di Bandar Penawar baru-baru ini.

ADUN Panti, Datuk Baderi Dasuki berkata, penglibatan peserta yang juga penduduk tempatan menunjukkan tanda sokongan padu pada program berkenaan.

Menurutnya, program bertujuan merancakkan pembangunan ekonomi sempena XPURA MINDA 2016 dan mempromosikan pelancongan sukan, selain mengamalkan budaya hidup sihat serta beri kesedaran kepentingan penjagaan kesihatan dalam kalangan masyarakat.

“Program juga dilihat dapat melahirkan semangat setia kawan dan juga erat hubungan antara peserta dan masyarakat melalui larian, yang turut melibatkan masyarakat luar. Dengan adanya program ini, dapat menjadikan Bandar Penawar dan Pengerang sebagai pusat pelancongan sukan di selatan negeri ini,” katanya ketika ditemui selepas membuat pelepasan peserta larian Penawar Pengerang Run 2016.

Menerusi program diadakan itu, kategori dipertandingkan ialah lelaki dan wanita terbuka sejauh 10 kilometer, kategori veteran (7 kilometer) dan kategori membabitkan pelajar sekolah dengan jarak larian 5 kilometer.

Hadir sama, Timbalan Pengurus Besar KEJORA, Hamzah Isa dan Pengurus Bahagian Pelancongan KEJORA, Abd Rahman Muri.